Oleh Yusrin Junaidi
TEMBURONG, 31 MAC – Seramai 120 orang dari 30 buah keluarga mualaf yang memerlukan di seluruh negara telah menerima sumbangan keperluan harian berupa makanan asasi dalam Projek Fathul Barakah 2.0 yang telah diungkayahkan oleh Pusat Dakwah Islamiah (PDI) dan Persatuan Mualaf Seluruh Negara.
Jumlah berkenaan termasuk mereka yang menerima bantuan pada majlis yang berlangsung di Unit Dakwah Daerah Temburong, hari ini, di mana penyerahannya telah disempurnakan oleh Pegawai Ugama Kanan PDI, Haji Ahmad Abdussalam bin Haji Abdul Rahman selaku tetamu kehormat.
Majlis turut menyaksikan penyerahan bantuan makan dan minum sempena Majlis Bertadarus dan Sembahyang Sunat Terawih Tahun 1442H/2021M bagi Daerah Temburong kepada tiga lokasi yang terpilih.
Turut hadir pada majlis itu ialah Ketua Bahagian Pembangunan Mualaf, Dr Hajah Rohanita binti Haji Yaakub.
Penyerahan bantuan dalam projek yang dikendalikan oleh Bahagian Pembangunan Mualaf (Kebajikan Mualaf) dengan kerjasama unit dakwah daerah-daerah dan Persatuan Mualaf Seluruh Negara itu merupakan susulan daripada majlis serupa yang telah diadakan pada 27, 29 dan 30 Mac di PDI, Unit Dakwah Daerah Tutong dan Unit Dakwah Daerah Belait.
Projek merupakan salah satu usaha dan inisiatif PDI dengan kerjasama Persatuan Mualaf Seluruh Negara untuk memberikan peluang kepada orang ramai untuk sama-sama memberikan infak jariah berupa keperluan harian seperti makanan asasi untuk diberikan kepada asnaf mualaf di seluruh negara untuk menyambut bulan Ramadan 1442 Hijrah.
Penyerahan bantuan berkenaan akan diteruskan oleh PDI dan unit dakwah daerah masing-masing dengan mengunjungi ke rumah-rumah mualaf.
