Sunday, March 16, 2025
24.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    120 muslimah sertai tadarus PEWAJA

    Oleh Salawati Haji Yahya

    BANDAR SERI BEGAWAN, 16 MAC – Seramai 120 wanita telah menyertai Majlis Tadarus Juzu 15 sempena Bulan Ramadan anjuran Ahli Persatuan Wanita Kampung Junjongan (PEWAJA), di Masjid As-Salaam, Kampung Junjongan pagi tadi.

    Persatuan Wanita Kampung Junjongan (PEWAJA), merupakan salah sebuah persatuan bergabung di bawah payung Majlis Wanita Negara Brunei Darussalam (MWNBD).

    Hadir selaku tetamu khas majlis adalah Dayang Hajah Eta Noorleta binti Abdullah, isteri Ketua Kampung Junjongan.

    Majlis tadarus dipimpin sepenuhnya oleh Dayang Messuri binti Musa, Ahli PEWAJA yang juga membaca Doa Allah Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam sebagai penutup acara.

    Manakala Penolong Ketua Badan Keugamaan PEWAJA, Dayang Siti Nor Azaimah binti Haji Tindas, selaku pentasmek bacaan.

    Terdahulu, Yang Di-Pertua PEWAJA, Dayang Zainab binti Haji Braim dalam ucapan alu-aluannya antara lain menyeru supaya mengambil peluang bersama-sama memperbanyakkan bacaan ayat suci Al-Quran yang sememangnya mempunyai banyak kelebihan.

    Selain itu, beliau turut menyatakan bahawa menghayati bacaan ayat suci Al-Quran akan memberi inspirasi dan galakan untuk lebih berusaha mendekatkan diri kepada Allah dan menguasai bidang ilmu pengetahuan kerana Al-Quran banyak mengajar dan menyeru manusia untuk menimba dan memartabatkan ketinggian ilmu dalam kehidupan.

    Beliau seterusnya berharap agar majlis seperti ini dapat lagi mengeratkan ukhuwah dengan perasaan kasih sayang dan persaudaraan yang teguh kerana Al-Quran mengajak manusia supaya bersatu-padu, berkeluarga dan mengukuhkan hubungan silaturahim.

    Turut sama hadir, Naib Yang Di-Pertuan Pertama, MWNBD, Pengiran Datin Paduka Hajah Mariam binti Haji Matarsat dan beberapa jemputan khas terdiri daripada Ahli Lembaga Tadbir MWNBD, persatuan-persatuan bergabung di bawah payung MWNBD serta muslimah masjid berkenaan.

      Semua di atas: Suasana semasa majlis tadarus berkenaan. – GAMBAR-GAMBAR OLEH MUIZ MATDANI

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda