Wednesday, December 25, 2024
28.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    120,000 haiwan berbulu dihapuskan di Finland

    HELSINKI, 23 OGOS – Finland, pengeluar bulu musang terbesar di Eropah, menghapuskan 120,000 ternakan musang dan cerpelai sebagai tindak balas terhadap wabak selesema burung di ladang-ladang haiwan berbulu negara itu, kata pegawai hari ini.

    “Perintah penghapusan telah dikeluarkan untuk 13 ladang,” kata Tuija Gadd, Ketua Unit Virologi Pihak Berkuasa Makanan Finland, kepada AFP. “Penyembelihan telah pun selesai di 10 ladang.”

    Wabak selesema burung H5N1 dalam burung camar dilaporkan pada bulan Jun dan kes pertama haiwan ternakan bulu yang dijangkiti dikesan di Finland pada bulan Julai.

    Pihak berkuasa Finland memutuskan pada awal Ogos untuk menjalankan penghapusan haiwan berbulu di semua ladang yang dijangkiti dan bilangan pemusnahan semakin meningkat sejak itu.

    Sejak akhir 2021, Eropah telah dibelenggu wabak selesema burung yang paling teruk, manakala Amerika Utara dan Selatan turut mengalami wabak yang teruk.

    Pihak berkuasa Finland berkata cerpelai boleh menjadi perantaraan jangkitan selesema burung dalam kalangan manusia. – AP

    Pertubuhan Kesihatan Sedunia memberi amaran pada Julai bahawa peningkatan wabak selesema burung dalam haiwan mamalia boleh membantu virus itu merebak dengan lebih mudah dalam kalangan manusia.

    Terdapat kira-kira 400 ladang bulu di Finland dengan anggaran 1.3 juta haiwan berbulu, kata Gadd.

    Wabak selesema burung telah menguatkan semula seruan untuk mengharamkan industri di negara Nordic, pengeluar terkemuka Eropah bagi bulu musang dengan hampir sejuta kulit bulu dihasilkan setiap tahun.

    Semasa pandemik COVID-19, Perancis, Belanda dan Estonia memperkenalkan larangan baharu manakala Denmark mengarahkan penghapusan keseluruhan populasi cerpelai yang diternak selepas wabak COVID.

    Gadd percaya wabak di ladang haiwan berbulu nampaknya sudah berkurangan, apabila burung camar sudah mula berhijrah ke selatan. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda