SYDNEY, 11 MAC – Syarikat utiliti Australia hari ini berusaha untuk memulihkan bekalan elektrik untuk lebih 120,000 rumah dan perniagaan yang masih terputus akibat angin ribut dan banjir yang melanda pantai timur.
Taufan Alfred, yang melanda luar pantai sebelum mendarat sebagai ribut tropika Sabtu lalu, membadai pantai sepanjang 400 kilometer selama lima hari.
Taufan itu telah meragut satu nyawa apabila seorang lelaki berusia 61 tahun yang memandu pikap pacuan empat roda dihanyutkan dari jambatan ke dalam sungai yang dinaiki air Jumaat lalu.
Angin dan hujan sejak itu reda di pantai yang merentasi Queensland dan New South Wales tetapi sebahagian besar negara itu masih tidak mempunyai bekalan elektrik.
Di tenggara Queensland yang paling teruk terjejas, di mana 118,000 hartanah masih terputus bekalan elektrik hari ini, syarikat utiliti serantau Energex berkata ia menyasarkan 95 peratus daripadanya dipulihkan menjelang Jumaat.
“Lebih 2,000 orang kakitangan kembali bertugas hari ini dan cuaca kelihatan baik untuk bekerja dan helikopter digunakan membawa kami untuk mengenal pasti rangkaian terpencil yang terjejas,” katanya dalam kemas kini terbaharu.
Energex berkata lebih 450,000 premis di Queensland terputus bekalan elektrik semasa kecemasan, yang merupakan rekod bagi negeri itu berpunca daripada bencana alam.
Sementara itu, di timur laut New South Wales, Essential Energy berkata 7,600 rumah dan perniagaan masih terputus bekalan elektrik. – AFP
