SINGAPURA, 28 Feb – Pihak berkuasa Singapura merampas 121 burung hidup termasuk spesies dilindungi ‘Fischer’s lovebird’ yang ditemui di dalam 10 buah kotak dalam pemeriksaan ke atas sebuah bas persiaran bernombor pendaftaran Malaysia di Pusat Pemeriksaan Woodlands pada Isnin lalu.
Dalam satu kenyataan bersama hari ini, Pihak Berkuasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA), Pihak Berkuasa Agromakanan dan Veterinar (AVA) serta Pihak Berkuasa Sains Kesihatan (HSA) berkata kotak-kotak terbabit disorokkan di dalam petak di sebelah kanan bas yang dipandu bersendirian seorang lelaki berusia 30 tahun. Burung lain ialah ‘Red whiskered bulbu’ (burung cerlah) ,‘White-rumped shama’ (murai hutan) dan ‘Spotted doves’ (merbuk).
Menurut kenyataan itu, Fischer’s lovebird iaitu sejenis burung nuri merupakan spesies yang dilindungi di bawah Konvensyen Perdagangan Antarabangsa mengenai Spesies Flora dan Fauna Liar Terancam (CITES) Lelaki itu serta rampasan termasuk bas diserahkan kepada AVA untuk siasatan.
Di bawah Akta Spesies Terancam (Import dan Eksport), pesalah boleh didenda sehingga S$50,000 (S$1=RM2.96) bagi setiap spesies berjadual (tidak melebihi $500,000) dan/atau penjara sehingga dua tahun jika disabitkan. Pemeriksaan di atas bas berkenaan turut menemukan tiga bungkusan hitam yang mengandungi 4,500 uncang sentil tembakau, disorokkan di dalam petak bagasi.
Pengimportan dan penjualan sentil tembakau adalah dilarang di Singapura. Mereka yang disabitkan kesalahan mengimport sentil tembakau boleh didenda sehingga $10,000 atau penjara sehingga enam bulan atau kedua-duanya bagi kesalahan pertama dan denda sehingga $20,000 atau penjara sehingga 12 bulan bagi kesalahan kedua dan seterusnya. – Bernama