Sunday, September 8, 2024
22.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    121 rakyat Malaysia diselamatkan dari Laukkaing

    SEPANG, 1 DIS – Seramai 121 rakyat Malaysia yang terkandas di Laukkaing, utara Myanmar ekoran pergolakan di wilayah berkenaan berjaya dibawa pulang hari ini melalui pelaksanaan misi evakuasi.

    Mereka yang berumur antara 20an dan 50an serta kebanyakannya adalah mangsa sindiket penipuan tawaran pekerjaan di utara Myanmar, diterbangkan ke Malaysia menerusi penerbangan khas AirAsia dari Kunming, China yang turut membawa seorang warganegara Indonesia yang terkandas di Laukkaing.

    Timbalan Menteri Luar, Datuk Mohamad Alamin berkata 121 orang yang kembali hari ini melalui misi itu adalah daripada 128 rakyat Malaysia yang terkini dikesan terkandas di Laukkaing ekoran perang saudara yang tercetus sejak hujung Oktober lepas.

    “Tujuh lagi tidak dapat dibawa pulang ketika ini atas beberapa sebab, tetapi kerajaan akan mengikuti perkembangan semasa dan melakukan proses evakuasi (keluar) seterusnya,” katanya kepada pemberita selepas menyambut ketibaan mereka di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1 di sini hari ini.

    Menurut beliau, dua orang telah meminta dikecualikan atau menarik diri untuk pulang sebelum proses dibawa keluar, seorang berada di luar kawasan sejauh 1,000 kilometer dari sempadan China, tiga lagi tidak berada di sempadan pada waktu ditetapkan, manakala seorang lagi terkandas akibat ada rekod jenayah di China dan tidak dibenarkan masuk ke China.

    Menurut kenyataan yang dikeluarkan Wisma Putra, Kedutaan Besar Malaysia di Yangon dan Konsulat Jeneral Malaysia di Kunming telah berjaya menyelaras misi tersebut dengan baik melalui sempadan negara Myanmar-China bermula pada pagi 30 November dengan kerjasama dan kelulusan dari negara terlibat.

    Wisma Putra berkata tindakan itu dapat dilaksanakan dengan berkesan berikutan pertemuan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof dengan dua Naib Premier China iaitu Liu Guozhong dan Ding Xuexiang semasa lawatan rasmi beliau ke China pada 16 November lepas. – Bernama

    Datuk Mohamad Alamin berbual bersama sebahagian daripada 121 rakyat Malaysia yang terkandas di Laukkaing, utara Myanmar sejurus tiba di Balai Ketibaan KLIA Terminal 1 kelmarin. – Bernama
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda