121 sertai Taklimat Life Saver 995

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 2 SEPT – Seramai 121 orang peserta daripada beberapa buah agensi kerajaan dan swasta telah menyertai Taklimat Life Saver 995 yang dijalankan oleh Bahagian Perhubungan Awam, Ibu Pejabat Jabatan Bomba dan Penyelamat, baru-baru ini.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat, di sini, hari ini, pada 25 Ogos, seramai 27 orang yang terdiri daripada pegawai dan kakitangan dari Agensi Pelaburan Brunei telah menghadiri taklimat yang diadakan di Bangunan Teknikal Ibu Pejabat Bomba dan Penyelamat, Jalan Landasan Terbang Lama, Berakas.

Manakala itu, pada 27 Ogos lalu, seramai 30 orang yang terdiri daripada pegawai dan kakitangan daripada Penerbangan Diraja Brunei Sdn Bhd telah menghadiri taklimat serupa yang diadakan di Bangunan Teknikal Ibu Pejabat Bomba dan Penyelamat, Jalan Landasan Terbang Lama, Berakas.

Pada 29 Ogos pula, seramai 64 orang yang terdiri daripada pegawai dan kakitangan daripada Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan serta jabatan-jabatan di bawahnya telah menghadiri taklimat yang diadakan di Dewan Kuliah, Stadium Negara Hassanal Bolkiah, Berakas.

Kenyataan menyatakan bahawa semasa taklimat berkenaan, para peserta didedahkan mengenai pentingnya keselamatan kebakaran dan juga semasa mendaki bukit serta di pantai.

Para peserta turut mempelajari secara teori dan praktikal mengenai penggunaan alat pemadam api yang betul mengikut kelas-kelas api yang ditangani.

Jabatan Bomba dan Penyelamat juga menawarkan taklimat keselamatan kebakaran dan kursus marsyal bomba selama tiga hari di mana bagi mereka yang mempunyai sebarang pertanyaan boleh menghubungi Bahagian Perhubungan Awam di talian, 2380409 sambungan 111.

Manakala itu, jika berlaku sebarang insiden kecemasan, orang ramai boleh menghubungi talian kecemasan 995 dengan memberikan maklumat yang tepat.

Peserta-peserta taklimat mempelajari cara penggunaan alat pemadam api secara praktikal semasa Taklimat Life Saver 995. – Gambar serahan JBP