GENEVA, 12 JUN – Agensi Pelarian Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNHCR) melaporkan bahawa jumlah individu yang dipaksa meninggalkan tempat tinggal mereka akibat keganasan dan penindasan di seluruh dunia kini melebihi 122 juta orang – meningkat kira-kira dua juta berbanding tahun lalu dan hampir dua kali ganda berbanding sedekad yang lalu.
Ketua UNHCR, Filippo Grandi, bagaimanapun, menegaskan masih terdapat ‘sinar harapan’ dalam tempoh enam bulan kebelakangan ini, termasuk kepulangan hampir dua juta rakyat Syria ke tanah air mereka yang sedang berusaha pulih selepas lebih sedekad dilanda perang saudara.
Penemuan itu diumumkan ketika UNHCR mengeluarkan Laporan Trend Global hari ini, yang menyatakan bahawa jumlah individu yang terpaksa meninggalkan negara atau mengungsi di dalam negara sendiri akibat perang, keganasan dan penindasan setakat April telah meningkat kepada 122.1 juta — berbanding 120 juta pada tahun sebelumnya.
Daripada jumlah itu, angka pelarian dalaman melonjak lebih 9 peratus kepada 73.5 juta orang pada akhir tahun lalu.
Data tersebut merangkumi jumlah kumulatif dari pelbagai konflik, keganasan dan penindasan sejak beberapa tahun, di mana sebahagian telah kembali ke tempat asal, manakala yang lain pula terus melarikan diri.
Laporan tersebut diterbitkan ketika banyak pertubuhan kemanusiaan berdepan pengurangan bajet oleh Amerika Syarikat (AS) dan negara-negara Barat lain yang sebelum ini menjadi penderma utama.
UNHCR turut menegaskan bahawa hampir dua pertiga individu yang menyeberangi sempadan untuk melarikan diri memilih untuk tinggal di negara jiran, sekali gus menangkis persepsi umum di negara-negara maju bahawa kebanyakan pelarian cuba menuju ke Eropah atau AS.
Agensi itu turut menyatakan bahawa Sudan, yang kini terperangkap dalam konflik perang saudara, telah menjadi krisis perpindahan terbesar di dunia, dengan lebih 14 juta orang terjejas – mengatasi Syria yang mencatatkan 13.5 juta.
Lebih 10 juta orang telah dipaksa berpindah di Afghanistan, manakala sekitar 8.8 juta pula di dalam atau dari Ukraine, menurut UNHCR. – AP
