122 karton rokok berjaya ditemukan

Oleh Yusrin Junaidi

BANDAR SERI BEGAWAN, 24 NOV – Sebanyak 122 karton rokok berjaya ditemukan oleh keanggotaan Polis Marin, Jabatan Gerakan, Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) di kawasan hutan bakau berdekatan Perumahan Kampung Sungai Bunga, Daerah Brunei dan Muara, kelmarin.

Menurut kenyataan PPDB, penemuan tersebut adalah hasil pemantauan dan rondaan Polis Marin yang dijalankan di kawasan berkenaan berikutan operasi pencarian sebuah perahu bersama dua orang suspek yang telah melarikan diri apabila cuba dipintas Polis Marin kerana dalam keadaan mencurigakan dan dipercayai membawa barang tegahan.

Semasa operasi pencarian dijalan-kan, keanggotaan Polis Marin telah menemukan beberapa longgokan kotak mencurigakan yang diletakkan di kawasan hutan bakau.

Pemeriksaan kemudian mengesahkan kotak itu mengandungi barang tegahan berupa rokok.

Kesemua barang bukti diserahkan ke Jabatan Kastam dan Eksais Diraja (JKED) bagi siasatan lanjut.

Dalam kenyataan itu, PPDB menyeru orang ramai supaya menyalurkan dan mengongsikan sebarang maklumat mengenai kegiatan jenayah melalui talian 993 atau mana-mana balai polis yang berdekatan.

Sebanyak 122 karton rokok ditemukan oleh Polis Marin, PPDB di kawasan hutan bakau berdekatan perumahan Kampung Sungai Bunga kelmarin.