Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 9 NOV – Bersatu Bikers Club (BBC) telah mengadakan Hari Keseronokan Keluarga bertempat di Pantai Muara yang bertujuan mengeratkan ukhuwah dan semangat setiakawan dalam kalangan ahli kelab serta keluarga masing-masing.
Hadir ke acara tersebut ialah Yang Di-Pertua BBC, B10 Haji Mohammad Isa bin Haji Marsidi. Turut hadir, Yang Di-Pertua BBC Ketiga, B55 Jahali bin Haji Pudin; Yang Di-Pertua BBC Ketujuh, B14 Matassan bin Haji Halus; Timbalan Yang Di-Pertua BBC, B21 Pengiran Mohd Aderus bin Pengiran Haji Tengah; Setiausaha I, B18 Pengiran Jaya bin Pengiran Haji Bakar; Setiausaha II, B17 Sarinah binti Haji Zainal Abidin, ahli jawatankuasa tadbir serta ahli-ahli BBC.
Seramai 30 orang ahli rasmi BBC bersama keluarga masing-masing hadir bagi memeriahkan suasana majlis yang diisi dengan pelbagai aktiviti kekeluargaan.
Acara dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah beramai-ramai yang dipimpin oleh B18 Pengiran Jaya bin Pengiran Haji Bakar, diikuti dengan ucapan alu-aluan oleh Timbalan Yang Di-Pertua BBC, Pengiran Mohd Aderus bin Pengiran Haji Tengah selaku Pengerusi Acara Keluarga.
Majlis turut diserikan dengan ucapan penghargaan daripada Yang Di-Pertua BBC, B10 Haji Mohammad Isa bin Haji Marsidi, yang menzahirkan rasa syukur atas semangat kebersamaan dan komitmen tinggi ditunjukkan oleh para ahli.
Secara keseluruhan, seramai 122 orang hadir dalam perhimpunan penuh mesra itu yang mencerminkan nilai perpaduan dan persahabatan dalam kalangan komuniti Bersatu Bikers Club.


