Jumaat, 21 November 2025
24.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    122 sertai Taklimat Cuaca Kebangsaan BDMD

    Oleh Yusrin Junaidi –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 11 JUN – Seramai 122 orang wakil dari agensi-agensi kerajaan, pihak swasta dan orang ramai telah menghadiri Taklimat Cuaca Kebangsaan kali ke-23 di Auditorium, Jabatan Penerangan, hari ini.

    Dianjurkan oleh Jabatan Kajicuaca Brunei Darussalam (BDMD), Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi (MTIC), taklimat kali ini telah disampaikan oleh Pegawai Kajicuaca dari BDMD, Dayang Nadiahtul ‘Afifah binti Haji Mohd Yasin yang menyentuh mengenai keadaan cuaca, iklim dan ramalan jangka panjang bagi monsun barat daya dan juga tempoh peralihan monsun yang bermula Jun sehingga November.

    Semasa monsun barat daya yang telah bermula sekitar awal bulan ini, keadaan atmosfera di negara ini pada kebiasaannya agak stabil dengan kejadian ribut petir setempat yang berkurangan dengan keadaan angin secara amnya akan bertiup dari arah barat daya.

    Monsun barat daya juga sinonim dengan musim pembentukan sistem ribut tropika dan taufan di kawasan barat laut Lautan Pasifik dan Laut China Selatan.

    Kesan pengaruh daripada sistem ribut tropika atau taufan yang berdekatan dengan rantau ini boleh menyebabkan pembentukan fenomena garis badai yang akan membawa keadaan cuaca yang tidak menentu dengan ribut petir berserta angin kencang sekali-sekala menjejaskan negara.

    Dayang Nadiahtul ‘Afifah semasa menyampaikan taklimat berkenaan di Auditorium, Jabatan Penerangan. – GAMBAR OLEH YUSRIN JUNAIDI
    ATAS & BAWAH: Antara wakil daripada agensi-agensi kerajaan, pihak swasta dan orang ramai yang menghadiri bengkel tersebut. – GAMBAR OLEH YUSRIN JUNAIDI
    GAMBAR OLEH YUSRIN JUNAIDI
    GAMBAR OLEH YUSRIN JUNAIDI

    Manakala itu, tempoh peralihan monsun dijangka akan bermula pada Oktober dan berterusan sehingga hujung November. Semasa tempoh itu, kesan angin tempatan akan memainkan peranan yang penting dalam mempengaruhi cuaca harian negara, di mana keadaan cuaca cerah pada waktu pagi dan hujan berasingan berlaku di kawasan pesisiran sekitar tengah hari.

    Manakala itu, ribut petir berlaku di kawasan pedalaman negara pada sebelah petang dan merebak ke kawasan pesisiran dan perairan negara pada waktu malam, dan kadangkala berlanjutan sehingga awal pagi keesokan harinya.

    Mengambil kira jangkaan iklim bermusim terkini yang dikeluarkan oleh pusat iklim dunia, fenomena La Nina dijangka beransur-ansur berkembang di Lautan Pasifik sekitar Julai ke September.

    Kehadiran fenomena tersebut diramalkan akan menambah jumlah turunan hujan di negara ini bagi beberapa bulan yang akan datang. Ramalan jangkaan turunan hujan bagi Jun adalah sekitar 290-330mm, manakala itu, bagi Julai boleh mencapai sehingga 340mm atau lebih, dan Ogos boleh mencapai 320mm atau lebih.

    Taklimat berkenaan diharap akan dapat memudah cara kesiapsiagaan kumpulan pengguna dan orang ramai dalam membuat perancangan dan sebarang tindakan awal dalam menghadapi sebarang keadaan cuaca.

    BDMD akan terus memantau keadaan cuaca dari semasa ke semasa, dan akan mengeluarkan nasihat dan amaran cuaca jika perlu.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda