Oleh Ak Zaki Kasharan
BANDAR SERI BEGAWAN, 21 SEPT – Sebanyak 124 kes baharu jangkitan COVID-19 telah dicatatkan di negara ini, hari ini, yang membawa jumlah keseluruhan kes seramai 5,385 orang.
“Terdapat 56 tambahan kes baharu kepada 11 kluster aktif sedia ada yang sedang menjalani kuarantin setelah didapati mempunyai kontak dengan beberapa kes positif sebelumnya,” kongsi Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar semasa sidang media hari ini.
Menurutnya lagi, dua kluster baharu telah dikesan iaitu Kluster FOS THOR Vessel yang mengandungi 11 kes dan Kluster 5289 yang mengandungi tujuh kes.
Kluster-kluster baharu itu juga mengandungi kes-kes yang telah dilaporkan sebelum ini sebagai kes yang belum dikenal pasti sumber jangkitannya.
Satu kluster telah ditutup setelah tidak ada kes dikesan di dalam kluster berkenaan selama 28 hari, iaitu Kluster 418.

Dengan itu, jumlah kluster aktif pada masa ini adalah sebanyak 96 kluster.
Selain itu, dua kes import juga dicatat hari ini yang mana masing-masing tiba di negara ini pada 8 dan 15 September lalu dari Manila.
Pada ketika ini, terdapat 48 kes yang masih dalam siasatan bagi mengenal pasti sumber jangkitan.
Yang Berhormat Dato juga mengongsikan sebanyak 102 kes telah disahkan sembuh hari ini yang membawa jumlah keseluruhan kepada 3,677 kes manakala jumlah kes aktif ialah sebanyak 1,673 kes.
“Di kalangan kes-kes aktif tersebut, lapan kes dalam keadaan kritikal, tujuh daripadanya memerlukan bantuan mesin pernafasan, manakala satu lagi memerlukan bantuan mesin tambahan heart-lung machine (ECMO).
“Sementara itu, 25 kes lain yang dikategorikan dalam kategori 4 sekarang ditempatkan di Unit Rawatan Intensif bagi pemantauan rapi,” ujarnya.
Dalam tempoh 24 jam yang lalu, sebanyak 5,031 sampel telah diuji bagi virus SARS-CoV-2 yang membawa jumlah keseluruhan ujian makmal dijalankan sejak Januari 2020 kepada
312,046 ujian.
Untuk maklumat lanjut dan perkembangan terkini, orang ramai boleh melayari laman web Kementerian Kesihatan www.moh.gov.bn atau melalui aplikasi BruHealth. Sebarang pertanyaan mengenai COVID-19 boleh disalurkan ke Talian Nasihat Kesihatan 148, Talian Darussalam 123, Talian Helpdesk Brunei Red Crescent (BRC) atau e-mel kepada: askhal@moh.gov.bn.