BANGKOK, 9 DIS — Polis Thailand menahan lebih 120 lelaki yang hanya memakai seluar dalam ketika menghadiri pesta dadah di Bangkok, menurut pegawai setempat hari ini.
Kolonel Polis, Pansa Amarapitak memaklumkan kepada AFP bahawa pihaknya telah menerima maklumat mengenai ‘parti dadah’ di sebuah bilik hotel di pusat bandar Bangkok awal pagi kelmarin.
Gambar yang dikeluarkan polis menunjukkan sebahagian besar suspek lelaki dalam keadaan bergari dan hanya memakai seluar dalam ketika pegawai memeriksa mereka bagi mendapatkan bukti dadah.
Daripada 124 orang yang ditahan, 31 didapati memiliki dadah terlarang seperti crystal methamphetamine, ecstasy dan ketamine, menurut Pansa.
Beliau menambah, semua individu itu diuji untuk bahan tersebut dan 66 daripadanya menunjukkan kesan dadah dalam sistem badan mereka.
Pansa turut memaklumkan bahawa kesemua suspek, kecuali dua orang, adalah lelaki dan sekitar lima daripadanya merupakan warga asing.
Polis kini sedang memohon kebenaran mahkamah untuk menahan mereka yang disyaki memiliki dadah bagi tujuan siasatan lanjut melebihi tempoh 48 jam yang ditetapkan, kata Pansa. Selebihnya telah dibebaskan, tambah beliau.
Thailand merupakan hab utama perdagangan dadah haram di Asia Tenggara, dengan serbuan dan rampasan dadah seperti heroin dan methamphetamine menjadi perkara biasa.
Pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Dadah dan Jenayah (UNODC) melaporkan sebanyak 190 tan methamphetamine dirampas di Asia Timur dan Asia Tenggara tahun lalu, mencatatkan rekod baharu. – AFP