Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 30 Okt – Seramai 124 orang calon sesi pagi dan lima orang calon sesi petang Sekolah Ugama Pengiran Muda Abdul Azim Serasa yang berjaya lulus peperiksaan Sijil Sekolah-sekolah Rendah Ugama (SSSRU) Darjah 6 pada 2016 diraikan dan menerima sijil mereka di Majlis Penyampaian Sijil SSSRU yang berlangsung di sekolah berkenaan, baru-baru ini.
Hadir selaku tetamu kehormat dan menyempurnakan penyampaian sijil kepada para murid yang diraikan ialah Guru Besar Sekolah Ugama Pengiran Muda Abdul Azim Serasa, Dayang Norliyani binti Haji Ahmad.
Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan Doa Selamat oleh Haji Hamdilah bin Haji Serudin diikuti dengan ucapan alu-aluan dan penyampaian sijil kepada para murid yang diraikan oleh Dayang Norliyani.
Semasa majlis berkenaan, Anugerah Murid Cemerlang SSSRU Darjah 6 telah disampaikan kepada Awang Muhd Firdaus bin Sudirman manakala Anugerah Murid Tauladan disampaikan kepada Awang Abdul Arif bin A.Karim dan Awang Muhd Shazul Khaizuran bin Zulkiflee.

