Oleh Yusrin Junaidi –
BANDAR SERI BEGAWAN, 16 SEPT – Seramai 124 pegawai dan kakitangan Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri (KHEDN) dan jabatan-jabatan di bawahnya telah menerima sijil dan plak penghargaan sempena Majlis Penghargaan Pegawai Bersara tahun 2024 di Dewan Serba guna, Tingkat 6, Bangunan KHEDN, hari ini.
Majlis yang dikendalikan oleh Jabatan Penjara itu turut diserikan dengan Majlis Sambutan Maulud Nabi Muhammad SAW peringkat kementerian dan jabatan-jabatan di bawahnya.
Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Ahmaddin bin Haji Abdul Rahman, yang menyampaikan penghargaan kepada para pegawai dan kakitangan atas jasa dan sumbangan ikhlas mereka sepanjang berkhidmat di kementerian dan jabatan-jabatan di bawahnya.
Turut hadir, setiausaha-setiausaha tetap, timbalan-timbalan setiausaha tetap, ketua-ketua jabatan, pegawai kanan, pegawai dan kakitangan kementerian serta jabatan-jabatan di bawahnya. Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah oleh Guru Ugama Institusi Penjara Maraburong Fasa 3, Awang Muhd Yusri bin Othman.
Seterusnya, majlis diserikan dengan ceramah khas bertajuk Kelebihan Selawat, Raih Syafaat yang disampaikan oleh Penolong Pensyarah Pusat Kajian Fiqh Kontemporari, Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPUSB), Awang Hilman bin Haji Salim, yang menekankan kepentingan selawat dan penghayatan ajaran Nabi Muhammad SAW.
Acara turut dimeriahkan dengan persembahan Dikir Marhaban daripada pegawai dan kakitangan Jabatan Penjara. Majlis diteruskan dengan penyampaian sijil dan plak penghargaan kepada 124 pegawai dan kakitangan KHEDN dan jabatan-jabatan di bawahnya yang telah bersara pada tahun 2024, dan penyampaian cenderamata kepada penceramah yang disempurnakan oleh tetamu kehormat majlis.
Penyampaian penghargaan ini bukan sahaja mengiktiraf jasa dan sumbangan ikhlas para pegawai dan kakitangan sepanjang mereka berkhidmat di KHEDN dan jabatan-jabatan di bawahnya, malah bertujuan memberi inspirasi kepada generasi pegawai baharu untuk mencontohi dedikasi dan komitmen mereka.
Majlis diakhiri dengan bacaan Doa Selamat oleh Awang Muhd Yusri bagi memohon rahmat, keberkatan dan keredaan Allah SWT ke atas majlis, pegawai, kakitangan serta seluruh KHEDN dan jabatan-jabatan di bawahnya.







