JAKARTA, 15 NOV – Seramai 161 rakyat Malaysia telah melaporkan keberadaan mereka di Labuan Bajo, Nusa Tenggara Timur sejak 10 November hingga hari ini, menurut Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta.
Daripada jumlah itu, 127 orang telah meninggalkan Labuan Bajo melalui pengangkutan laut atau pengangkutan udara selepas operasi penerbangan domestik di sambung semula pada Rabu.
“Dua orang telah tiba di Jakarta, 21 di Surabaya, 34 di Bali dan 20 di Lombok, untuk menyambung perjalanan pulang ke Malaysia atau ke destinasi lain,” kata kedutaan dalam kenyataan.
Menurut kedutaan, seramai 50 orang memaklumkan bahawa mereka telah tiba di Malaysia.
Petugas kedutaan di Labuan Bajo kini sedang membantu 34 orang yang masih berada di sana, termasuk tiga orang yang baru melaporkan keberadaan mereka di mukim Larantuka.
Kedutaan terus memantau situasi letusan Gunung Berapi Lewotobi Laki-Laki di Pulau Flores, Nusa Tenggara Timur yang mengakibatkan penutupan sementara ruang udara dan operasi penerbangan dari 9 hingga 13 November, serta beberapa penerbangan lain termasuk di Bali dan Lombok pada Rabu.
Pihak berkuasa Indonesia masih meletakkan tahap kewaspadaan Gunung Berapi Lewotobi Laki-Laki pada status tertinggi Peringkat IV.
Jumlah tahanan di penjara melebihi kapasiti maksimum 140,424 orang, menyebabkan kadar kesesakan mencapai 97 peratus. – Bernama