KINSHASA, 3 SEPT – Sekurang-kurangnya 129 orang terbunuh semasa percubaan meloloskan diri dari penjara hujung minggu di penjara terbesar di Republik Demokratik Congo, kata Menteri Dalam Negeri, hari ini.
“Jumlah korban buat sementara ini ialah 129 orang, termasuk 24 yang ditembak selepas amaran,” kata Menteri Dalam Negeri Republik Demokratik Congo, Jacquemain Shabani dalam mesej video, sambil menambah bahawa sekurang-kurangnya 59 yang lain telah cedera di penjara Makala di ibu negara, Kinshasa.
Kementeriannya berkata beberapa orang telah dihimpit atau mati lemas dan beberapa wanita telah dirogol.
Saksi memberitahu AFP bahawa tembakan bermula di penjara itu kira-kira jam 2:00 pagi kelmarin dan berlarutan selama beberapa jam.
Daddi Soso, seorang juruelektrik berusia dalam umur 40an yang tinggal di ibu negara, melaporkan melihat kenderaan pasukan keselamatan membawa pergi mayat pada awal pagi.
Pihak berkuasa tidak memberikan sebarang petunjuk tentang jumlahbanduan yang berjaya melarikan diri atau cuba berbuat demikian, tetapi pada tengah hari kelmarin, jurucakap kerajaan Patrick Muyaya memberitahu televisyen nasional keadaan berjaya ‘dikawal’. – AFP