TUTONG, 11 JUN – Seramai 129 pelajar Tahun 7 dari Sekolah Menengah Muda Hashim telah menghadiri Taklimat Kenali ASEAN yang diadakan di Dewan Jubli sekolah berkenaan baru-baru ini.
Taklimat dihadiri oleh Timbalan Pengetua Akademik SM Muda Hashim, Dayang Jabaidah binti Jait dan para tenaga pengajar sekolah tersebut.
Taklimat tersebut dikendalikan oleh Jabatan Penerangan, Jabatan Perdana Menteri, melalui Meja Hal Ehwal Antarabangsa, Unit Perhubungan Korporat, Bahagian Media dan Komunikasi Korporat selaku Sekretariat bagi Jawatankuasa Kecil Penerangan (SCI) ASEAN-COCI.
Ia dijalankan untuk membarigakan serta memberikan pendedahan meluas mengenai maklumat asas berkaitan ASEAN kepada pelajar-pelajar sekolah menengah di negara ini.
Taklimat Kenali ASEAN disampaikan oleh Ketua Meja Hal Ehwal Antarabangsa, Unit Perhubungan Korporat, Bahagian Media dan Komunikasi Korporat, Jabatan Penerangan Awang Eddy Iswandy bin Haji Ismail, yang mana antara lain untuk menanamkan kesedaran di kalangan para pelajar sekolah sebagai sebahagian daripada masyarakat ASEAN, selaras dengan Moto ASEAN: Satu Visi, Satu Identiti, Satu Komuniti.
Para pelajar juga berpeluang menyertai Kuiz Kenali ASEAN bagi meningkatkan lagi kefahaman tentang taklimat yang disampaikan dan penyampaian hadiah kepada pemenang kuiz telah disempurnakan oleh timbalan pengetua akademik sekolah berkenaan.
Dalam hasrat untuk membarigakan mengenai ASEAN ia juga usaha berterusan untuk menyuntik semangat patriotisme dan sifat perpaduan (ASEAN-ness) di kalangan pelajar-pelajar untuk menghayati fungsi dan tujuan ASEAN ditubuhkan, pada masa yang sama juga dapat mengukuhkan hubungan antara Jabatan Penerangan dengan masyarakat khususnya para pelajar yang bakal mewarisi kesinambungan bangsa dan seterusnya memainkan peranan penting dalam memangkin hala tuju negara satu masa nanti.
Semua di atas: Antara suasana semasa taklimat berkenaan. – GAMBAR-GAMBAR SERAHAN JABATAN PENERANGAN