Oleh Nurdiyanah R. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 11 DIS – Bagi sama-sama memberi peluang kepada golongan emas dalam menyerlahkan kemahiran memasak mereka, Pusat Kegiatan Warga Emas (PKWE) Daerah Tutong telah menjayakan Pertandingan Masakan bersempena Hari Antarabangsa Warga Emas (HAWE) bertempat di Dewan Serbaguna PKWE Daerah Tutong, kelmarin.
Seramai 13 ahli PKWE Daerah Tutong telah menyahut cabaran pertandingan berkenaan yang meliputi enam kategori iaitu nasi goreng, daging masak rendang, ayam masak kari, ikan masak kicap, udang masak merah dan sayur campur.
Berkesempatan ditemui Media Permata, Penolong Pengurus PKWE Daerah Tutong, Haji Ahmadbi bin Haji Othman antaranya mengongsikan pertandingan yang buat julung kali diadakan itu merupakan kesinambungan daripada program memasak mingguan yang dijalankan setiap hari Selasa di pusat tersebut.
Tambah beliau, menerusi acara sedemikian ia bukan sahaja terus mengeratkan jalinan semangat kerjasama semasa ahli namun secara tidak langsung mereka dapat berkongsi ilmu dalam bidang masakan sekali gus menyerlahkan keunikan hasil air tangan masing-masing.
Dalam pada itu, majlis penyampaian hadiah bagi pertandingan berkenaan akan diadakan pada 21 Disember nanti yang dijangka bakal disempurnakan oleh Pemangku Pegawai Daerah Tutong di pusat tersebut.