Oleh Syahmi Hassan
BANDAR SERI BEGAWAN, 29 DIS – Seramai 13 anggota Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB) yang telah memeluk Islam diraikan pada majlis yang diadakan di Surau Al-Fa’zun, Berakas Garison hari ini.
Anggota yang diraikan terdiri dari lapan anggota Tentera Darat Diraja Brunei (TDDB), seorang anggota Tentera Laut Diraja Brunei (TLDB) dan empat dari Tentera Udara Diraja Brunei (TUDB).
Hadir pada majlis tersebut ialah Pemerintah ABDB, Mejar Jeneral (U) Dato Seri Pahlawan Haji Hamzah bin Haji Sahat. Turut hadir ialah para pemerintah angkatan tentera, pengarah, komandan, pegawai-pegawai kanan dan pegawai-pegawai ABDB.
Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Mu’minun oleh Lans Koperal Muhd Zulilmi bin Haji Julaiha dari Jabatan Agama ABDB (JAMA’AT) diikuti dengan Dikir Marhaban.
Ia turut diserikan dengan penyampaian cenderahati daripada tetamu kehormat dan diakhiri dengan doa penutup yang dibacakan oleh Pemangku Ketua JAMA’AT, Mejar Ariffin bin Amit.

