Thursday, April 3, 2025
24.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    13 bangunan di Temburong diiktiraf cekap tenaga

    Oleh Sim Y. H.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 25 JULAI – Sebanyak 13 buah premis kerajaan dan komersial di Daerah Temburong telah melalui Program Pengauditan Kecekapan Tenaga dan diberikan Sijil Label Tenaga Bangunan dalam majlis yang berlangsung di Pejabat Daerah Temburong, kelmarin.

    Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Kementerian Tenaga, di sini, sijil berkenaan disampaikan oleh Setiausaha Tetap di Kementerian Tenaga, Haji Azhar bin Haji Yahya kepada pemilik-pemilik bangunan berkenaan.

    Turut hadir pada majlis berkenaan ialah ahli Majlis Mesyuarat Negara dan Penghulu Mukim Bokok, Yang Berhormat Haji Emran bin Sabtu; Timbalan Setiausaha Tetap di Kementerian Tenaga, Pengiran Haji Jamra Weira bin Pengiran Haji Petra dan Pemangku Pegawai Daerah Temburong, Pengiran Muhammad Ameer Mubarak bin Pengiran Haji Hashim.

    Persijilan itu merupakan sebahagian daripada pendekatan integrasi Kementerian Tenaga untuk menggalakkan dan mempercepatkan pelaksanaan amalan kecekapan tenaga dalam bangunan.

    Kenyataan menyatakan bahawa memperbaiki prestasi tenaga bangunan merupakan satu keutamaan dalam menyokong inisiatif serta membantu untuk menyumbang kepada sekuriti tenaga jangka panjang negara serta alam sekitarnya.

    Haji Azhar menyempurnakan penyampaian Sijil Label Tenaga Bangunan bagi bangunan-bangunan kerajaan dan komersial di Daerah Temburong. – Gambar serahan Kementerian Tenaga

    Kecekapan tenaga tinggi juga membawa kepada pengurangan pengeluaran gas rumah hijau daripada penggunaan tenaga rendah bagi bangunan.

    Persijilan berkenaan bersama beberapa lagi projek tenaga boleh diperbaharui, merupakan sebahagian daripada komitmen Kementerian Tenaga untuk menyokong Pelan Autoriti Kemajuan Daerah Temburong (AKDT) untuk membangunkan Daerah Temburong sebagai Permata Hijau Brunei Darussalam.

    Persijilan Label Tenaga Bangunan itu menggunakan sistem rating bintang dan dikeluarkan menerusi satu program pengauditan tenaga yang melibatkan beberapa buah bangunan di daerah berkenaan.

    Program itu menyediakan maklumat mengenai data penggunaan tenaga bangunan dan langkah-langkah untuk memperbaiki lagi kecekapan tenaga bangunan itu serta pada masa yang sama, mengekalkan atau memperbaiki keselesaan penghuni.

    Sejak permulaannya pada Mac 2020 di Daerah Temburong, program pengauditan tenaga telah memperoleh keputusan yang positif di mana 13 daripada 24 buah bangunan kerajaan dan komersial yang terlibat telah memenuhi minimum Indeks Kecekapan Tenaga (EEI) yang ditetapkan oleh Kementerian Tenaga.

    Kenyataan menyatakan bahawa EEI sebanyak 130 kWh per m2 setahun bagi sebuah bangunan pejabat kerajaan dengan keluasan lantai 1,000m2 dan 180 kWh per m2 setahun bagi sebuah bangunan komersial dengan keluasan lantai di atas 1,000m2 telah ditetapkan sebagai garis dasar.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda