BELGRADE, 4 OKT – Polis Montenegro menahan 13 orang dan sedang mencari beberapa orang lain yang disyaki menyeludup ratusan pendatang, kata pendakwa raya hari ini.
Montenegro merupakan salah sebuah negara transit bagi pendatang, termasuk mereka yang melarikan diri dari konflik di Timur Tengah, yang ingin memasuki Kesatuan Eropah melalui jalan yang dikenali sebagai Laluan Balkan.
Pejabat pendakwa negara Montenegro dalam satu kenyataan menyatakan bahawa suspek menubuhkan kumpulan untuk menyeludup orang dari Pakistan, Bangladesh, India, Nepal, Syria dan negara lain ke Montenegro.
Ia berkata mereka dituduh menyeludup sejumlah 352 orang dengan tujuan untuk mendapatkan faedah kewangan atau manfaat lain-lain.
Sehari sebelum itu, polis di Serbia menahan anggota dua kumpulan jenayah terancang yang dituduh menyeludup kira-kira 176 pendatang, kata perkhidmatan pendakwaan negera di sana.
Serbia, yang merupakan negara bukan EU dan negara transit di Laluan Balkan, telah menyaksikan lebih sejuta orang dari Asia dan Afrika melalui wilayahnya sejak krisis pelarian pada 2015, menurut kerajaan Serbia. – AFP