Oleh Sim Y.H. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 26 JUN – Seramai 13 graduan cemerlang yang telah menamatkan pengajian dengan keputusan Ijazah Sarjana Muda Kepujian Kelas Pertama bagi sesi pengajian 2024, diraikan dalam Majlis Anugerah Graduan Cemerlang 2025 yang berlangsung di Auditorium, Balai Khazanah Islam Sultan Haji Hassanal Bolkiah, di ibu negara, hari ini.
Graduan-graduan yang diraikan terdiri daripada penerima Skim Biasiswa Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ke Luar Negeri serta Skim Bantuan Pinjaman Pendidikan (SBPP).
Hadir menyempurnakan penyampaian anugerah tersebut ialah Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Datin Seri Setia Dr Hajah Romaizah binti Haji Mohd Salleh.
Pemangku Pengarah Pengurusan Biasiswa, Kementerian Pendidikan, Dayang Rosimah Sumaimah binti Haji Matassim dalam ucapan alu-aluannya menyatakan kejayaan para graduan berkenaan mencerminkan semangat juang yang tinggi, komitmen tidak berbelah bahagi serta ketekunan luar biasa dalam mengejar ilmu.
Menurutnya lagi, mereka yang diberi peluang untuk menimba ilmu, kemahiran dan kepakaran diperingkatkan antarabangsa itu juga, diharap dapat memanfaatkan segala pengetahuan dan pengalaman berkenaan demi menyumbang kepada pembangunan masyarakat serta menyokong matlamat Wawasan Brunei 2035 dalam melahirkan rakyat berpelajaran, berkemahiran dan bertamadun.
“Sambutlah cabaran untuk menjadi ejen perubahan, berinovasi, berkreativiti, menyemai semangat patriotisme dan murah hati dalam menyebar ilmu.”
Dayang Rosimah Sumaimah yakin mereka mampu memberikan impak besar kepada pembangunan negara dalam pelbagai bidang, tanpa mengabaikan nilai teras Melayu Islam Beraja, walau di mana jua berada.
Majlis seterusnya menyaksikan penyampaian plak dan sijil penghargaan kepada para graduan yang disempurnakan oleh Yang Berhormat Datin. Majlis diadakan untuk mengiktiraf dan meraikan pencapaian cemerlang para graduan, di samping memberi inspirasi serta dorongan kepada pelajar-pelajar lain untuk berusaha mencapai kecemerlangan akademik.