Saturday, February 22, 2025
23.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    13 kanak-kanak diselamatkan daripada rangkaian penderaan dalam talian

    SYDNEY, 8 OGOS – 19 lelaki telah didakwa manakala 13 kanak-kanak Australia diselamatkan daripada bahaya susulan siasatan ke atas rangkaian penderaan kanak-kanak dalam talian yang canggih, Agensi Berita Jerman (dpa) memetik Polis Persekutuan Australia (AFP) pada hari ini.

    Siasatan AFP bermula pada 2022 apabila Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) berkongsi risikan mengenai rangkaian yang didakwa berkongsi bahan penderaan kanak-kanak di laman web gelap.

    Ahli kumpulan itu menggunakan perisian untuk berkongsi fail secara tanpa nama, berbual di ruangan sembang laman web dan mengakses laman web dalam rangkaian itu, dakwa AFP.

    AFP berkata beberapa kanak-kanak yang diselamatkan daripada bahaya telah didera secara langsung, manakala yang lain diselamatkan langkah keselamatan.

    Komander AFP Helen Schneider berkata menyelamatkan kanak-kanak daripada bahaya dan mengheret pelaku yang didakwa ke mahkamah sentiasa menjadi keutamaan bagi penguatkuasaan undang-undang.

    Siasatan yang dikenali sebagai Operasi Bakis, hanya boleh dilakukan kerana hubungan kerja yang erat antara AFP dan FBI, kata Schneider.

    “Tindakan penjenayah menggunakan enkripsi dan web gelap adalah satu cabaran bagi penguatkuasaan undang-undang, tetapi Operasi Bakis menunjukkan apabila kita bekerjasama, kita boleh membawa pesalah yang didakwa ke mahkamah,” kata Schneider.

    Operasi Bakis berpunca daripada pembunuhan dua ejen FBI semasa siasatan berkaitan di Florida pada 2021. Selepas kematian itu, FBI memulakan operasi antarabangsa yang menyasarkan pesalah di platform tersebut. Siasatan FBI menyebabkan 79 orang ditangkap kerana didakwa terlibat dalam rangkaian itu. – Bernama

    Komputer suspek dipaparkan di atas meja. Polis telah mendakwa 19 lelaki di Australia atas kesalahan penderaan seks kanak-kanak dan menyelamatkan 13 kanak-kanak daripada bahaya lanjut susulan maklumat daripada pegawai FBI Amerika Syarikat pada hari ini. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda