Wednesday, November 27, 2024
24.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    13 kes kematian direkod setakat Oktober 2024

    Oleh Sim Y. H. –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 26 NOV – Statistik kemalangan jalan raya setakat Oktober 2024 merekodkan sebanyak 13 kes kematian dan 1,482 kes kemalangan jalan raya secara keseluruhan.

    Daripada jumlah kes kematian yang direkodkan, dua kes melibatkan pengguna jalan raya yang berhenti di tepi jalan ketika menukar tayar dan ketika mengalami kerosakan kenderaan.

    Perkara itu perlu dipandang serius dan kita sebagai pengguna jalan raya hendaklah meningkatkan kepekaan dan memainkan peranan dan tanggungjawab bersama dalam memastikan keselamatan jalan raya.

    Penekanan itu dibuat oleh Timbalan Setiausaha Tetap (Pengangkutan) di Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi, Haji Mohammad Salihin bin Haji Aspar selaku Setiausaha Majlis Kebangsaan Keselamatan Jalan Raya (MKKJR) semasa berucap pada Majlis Sempena Memperingati Mangsa-mangsa Lalu Lintas Jalan Raya Sedunia 2024 yang berlangsung di Dewan Mawaddah, SetiaPoint, Mukim Berakas A, hari ini.

    Beliau menyatakan salah satu projek yang dilaksanakan oleh MKKJR tahun ini ialah pengauditan ke atas jalan raya (BruRAP2) kali kedua bagi menilai tahap keselamatan jalan raya berdasarkan Metodologi The International Road Assessment Program (iRAP) sekali gus untuk menetapkan penarafan Keselamatan (Safety Rating seperti iRAP star) untuk memahami risiko keselamatan jalan raya di Negara Brunei Darussalam.

    “Projek BruRAP2 ini telah dijalankan dari bulan Oktober 2023 dan berakhir sehingga bulan Jun 2024 dan antara hasil BruRAP2 ialah untuk membuat perbandingan dan perkembangan dengan laporan BruRAP1 yang dijalankan pada tahun 2015,” jelasnya lagi.

    Haji Mohammad Salihin menyatakan harapan segala usaha yang telah dilakukan itu dapat memberikan impak yang positif dalam meningkatkan keselamatan jalan raya.

    Beliau turut menyeru semua pihak berganding bahu untuk mewujudkan jalan raya yang lebih selamat di mana keselamatan merupakan keutamaan bagi setiap pengguna jalan raya.

    Haji Mohammad Salihin semasa menyampaikan ucapan alu-aluannya pada majlis tersebut. – GAMBAR OLEH RAFI ROSLI
    GAMBAR OLEH RAFI ROSLI

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda