Jumaat, 21 November 2025
24.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    13 kesalahan dikesan di bawah Akta Kawalan Harga

    BANDAR SERI BEGAWAN, 1 SEPT – Sebanyak 13 kesalahan telah direkodkan semasa pemeriksaan rutin harian Jabatan Perancangan Ekonomi dan Statistik (JPES) di Kementerian Kewangan dan Ekonomi (MOFE) ke atas beberapa premis perniagaan.

    Menurut kenyataan MOFE, hasil pemeriksaan JPES melalui Jabatan Hal Ehwal Pengguna telah mendapati kesalahan-kesalahan di bawah Akta Kawalan Harga, Penggal 142 yang kerap dilakukan oleh peniaga adalah menjual barangan yang dikawal harga iaitu minyak masak dan susu tepung formula, melebihi harga maksimum yang ditetapkan dan tidak mempamerkan tanda harga pada sebahagian barangan yang dijual di dalam premis perniagaan atau mempamerkan tanda harga yang mengelirukan.

    Berikutan kesalahan-kesalahan tersebut, lapan Notis Amaran telah dikeluarkan pada suku kedua tahun 2025.

    Sementara lima kompaun berjumlah $500 dan $700 telah dikenakan kepada lima buah premis perniagaan di bawah Akta Kawalan Harga, Penggal 142 iaitu kesalahan melebihi harga dan bayaran maksimum yang ditetapkan oleh Pengawal Harga dan kesalahan berkaitan paparan tanda harga.

    Sehubungan dengan itu, para peniaga diingatkan untuk menjalankan perniagaan yang beretika dengan tidak menjual barangan yang dikawal harga melebihi harga maksimum yang ditetapkan dan mempamerkan tanda harga dengan jelas dan betul serta tidak mengelirukan pengguna.

    Senarai harga terkini bagi barangan yang dikawal harga maksimum boleh diperolehi di dalam laman sesawang JPES di www.deps.mofe.gov.bn.

    Kegagalan dalam mematuhi akta berkenaan boleh dikenakan denda maksimum sebanyak $20,000 dan penjara selama lima tahun bagi kesalahan yang berulang.

    Di kesempatan ini, JPES merakamkan penghargaan terima kasih kepada orang ramai yang telah menyalurkan aduan secara bertanggungjawab dengan menyertakan maklumat lengkap termasuk dokumen sokongan seperti resit pembayaran melalui saluran-saluran rasmi iaitu Talian Darussalam 123 dan e-mel aduanpengguna@jpes.gov.bn.

    Salah seorang pegawai JPES semasa melakukan pemeriksaan rutin di sebuah premis perniagaan. – GAMBAR SERAHAN JPES
    ATAS & BAWAH : Para pegawai penguat kuasa JHEP, JPES memeriksa harga susu tepung di premis perniagaan yang terlibat. – GAMBAR-GAMBAR SERAHAN JPES
    GAMBAR-GAMBAR SERAHAN JPES

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda