13 lagi kerusi keselamatan anak damit disumbangkan

Oleh Daniel Lim

BELAIT, 26 FEB – Sebagai sebahagian daripada inisiatif bulanannya untuk meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan kerusi keselamatan anak damit, SC Tubular Solutions (B) Sdn Bhd (SCTSB) dengan kerjasama Mothercare Brunei telah meneruskan lagi penyampaian sumbangan kerusi anak damit kepada ibu bapa di Daerah Belait, hari ini.

Kali ini, sebanyak 13 kerusi keselamatan anak damit diserahkan kepada ibu bapa anak damit yang baru dilahirkan pada majlis yang diadakan di Dewan Kuliah Hospital Suri Seri Begawan (SSB), Kuala Belait.

Hadir menyampaikan sumbangan yang merupakan sebahagian daripada tanggungjawab sosial korporat SCTSB ialah Yard Coordinator (OPS Team), Awang Azim Mohammad yang diiringi oleh beberapa orang kakitangan syarikat.

Dalam ucapannya, Awang Azim menekankan kepentingan keselamatan sebagai tanggungjawab semua orang di jalan raya yang patut diambil serius.

“Di SCTSB keselamatan adalah keutamaan kami dan dengan kerjasama semua orang, kami dapat membantu meningkatkan kesedaran mengenai penggunaan kerusi keselamatan anak damit dalam kereta, yang bertujuan untuk mengurangkan risiko ketika kemalangan maut,” ujarnya.

Susulan penyerahan kerusi keselamatan anak damit kepada ibu bapa, perwakilan dari Mothercare turut membuat demonstrasi mengenai pelbagai ciri dan prosedur keselamatan kerusi keselamatan anak damit yang disampaikan.

Ibu bapa salah seorang anak damit menerima kerusi keselamatan anak damit daripada Awang Azim.