Ahad, 23 November 2025
27.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    13 lelaki bersenjata ditahan ceroboh stesen TV

    BOGOTA , 10 JAN – Polis Ecuador pada kelmarin menahan beberapa lelaki bersenjata yang menceroboh sebuah stesen televisyen awam di negara itu semasa sedang bersiaran langsung.

    Suspek memaksa kru televisyen berbaring dan duduk di atas lantai dengan bunyi tembakan dan jeritan kedengaran semasa siaran langsung itu.

    Dalam satu hantaran di X, ketua polis Ecuador, Cesar Augusto Zapata berkata operasi polis di TC Television menyebabkan 13 orang ditahan dengan senjata, bahan letupan dan bahan bukti lain juga dirampas.

    Zapata turut mengesahkan semua tebusan telah dibebaskan dan dibawa ke tempat selamat selain menyifatkan kejadian itu sebagai ‘tindakan pengganas’.

    Hantaran Zapata turut menunjukkan gambar beberapa lelaki dengan tangan mereka diikat di belakang.

    Tidak lama selepas lelaki bersenjata bertopeng mengganggu siaran langsung itu, Presiden Ecuador, Daniel Noboa mengeluarkan dekri yang mengisytiharkan negara itu telah memasuki ‘konflik bersenjata dalaman’.

    Perintah itu menetapkan 22 kumpulan pengedaran dadah yang beroperasi di negara itu sebagai kumpulan pengganas.

    “Saya telah memerintahkan Angkatan Bersenjata Ecuador menjalankan operasi ketenteraan untuk melumpuhkan kumpulan-kumpulan ini,” kata presiden itu.

    Kejadian keganasan lain turut berlaku di seluruh negara pada kelmarin.

    Pensyarah dan pelajar di Universiti Guayaquil berlindung di dalam bilik kuliah selepas sebuah organisasi jenayah menawan kemudahan itu.

    Selain itu Kementerian Pendidikan mengumumkan penggantungan kelas di seluruh negara dengan memutuskan peralihan ke kaedah pembelajaran secara tidak bersemuka akibat krisis keselamatan berkenaan.

    Media tempatan juga melaporkan kehadiran beberapa individu bersenjata di sebuah hospital di Guayaquil.

    Pengisytiharan konflik dalaman dibuat sehari selepas Noboa mengisytiharkan darurat selama 60 hari di seluruh Ecuador akibat krisis penjara dan keselamatan yang serius dialami negara itu.

    Keputusan itu dibuat selepas seorang daripada ketua kumpulan paling berbahaya di negara itu dilaporkan hilang dari penjara pada hari Isnin, mencetuskan beberapa siri rusuhan di sekurang-kurangnya enam penjara di negara itu. – Bernama

    Tangkapan skrin video langsung daripada rangkaian TC Television menunjukkan salah seorang lelaki bertopeng dan bersenjata berdiri berhampiran wartawan semasa siaran langsung, di Guayaquil, Ecuador, kelmarin. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda