Jumaat, 21 November 2025
24.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    13 lelaki termasuk CEO GISBH dihukum penjara 15 bulan

    KAJANG, 7 NOV – Seramai 13 lelaki termasuk Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH), Nasiruddin Mohd Ali dan anak bekas pengasas Al-Arqam, Ashaari Muhammad, dijatuhi hukuman penjara 15 bulan oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam hari ini selepas mengaku bersalah menjadi anggota pertubuhan menyalahi undang-undang itu.

    Mereka sebelum ini didakwa atas pertuduhan menjadi ahli kumpulan jenayah terancang mengikut Seksyen 130V(1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang lima tahun dan maksimum 20 tahun, jika sabit kesalahan. Namun, Jabatan Peguam Negara menerima representasi yang dikemukakan semua tertuduh untuk mengkaji semula pertuduhan berkenaan.

    Mengikut pertuduhan pilihan, kesemua mereka didakwa menjadi anggota GISBH, iaitu sebuah pertubuhan yang menyalahi undang-undang, di sebuah premis di Bandar Country Homes, Rawang, antara Oktober 2020 hingga 11 September 2024.

    Pertuduhan mengikut Seksyen 43 Akta Pertubuhan 1966 (Akta 335) dan boleh dihukum di bawah peruntukan sama, yang membawa hukuman penjara maksimum tiga tahun atau denda tidak melebihi RM5,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

    Sebelum menjatuhkan hukuman, Latifah berkata mahkamah mengambil kira pengakuan bersalah kesemua tertuduh terhadap pertuduhan pilihan selepas mendengar hujah pemberatan pihak pendakwa raya dan pengurangan hukuman oleh pihak pembelaan.

    “Tertuduh lelaki dalam kes ini seramai 13 orang dan mahkamah mengambil kira bahawa mereka telah mengaku bersalah atas pertuduhan pilihan serta menunjukkan rasa insaf dan kesal. Mahkamah juga mengambil kira bahawa mereka telah berada dalam tahanan reman selama 13 bulan,” katanya. – Bernama

    Seramai 13 lelaki termasuk Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH), Nasiruddin Mohd Ali, dijatuhi hukuman penjara 15 bulan oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam kelmarin. – Bernama
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda