UVALDE, Texas, 30 Mac – Sebuah bas kecil ulang-alik yang membawa pulang anggota-anggota gereja Texas dari tempat terasing telah bertembung dengan sebuah lori pikap, mengorbankan 13 orang dan mencederakan dua orang lagi semalam di lebuh raya dua lorong di barat daya Texas, menurut para pegawai.
Kesemua mangsa yang maut itu adalah mereka yang berusia yang menghadiri satu majlis di gereja di Texas, termasuklah pemandu.
Seramai 14 orang yang agak berumur berada di dalam bas berkenaan dan pemandu adalah satu-satunya yang berada di dalam pikap itu apabila kenderaan-kenderaan itu bertembung kira-kira pukul 12:30 tengah hari di US.83, di luar Garner State Park di utara wilayah Uvalde, menurut Sarjan Conrad Hein dari Jabatan Keselamatan Awam Texas dan satu kenyataan dari pihak gereja. Kawasan itu kira-kira 120.7 km barat San Antonio.
Hein berkata dua orang lagi penumpang bas dan pemandu pikap mengalami kecederaan dan telah dimasukkan ke hospital.

Salah seorang penumpang meninggal dunia di hospital San Antonio lewat semalam menurut DPS Lt Johnny Hernandez. Satu-satunya penumpang yang terselamat telah dimasukkan ke hospital dan dalam keadaan kritikal, manakala pemandu pikap sedang dirawat di hospital dan dalam keadaan stabil, ujarnya lagi.
Tidak jelas punca kemalangan yang berlaku kira-kira 193.1 km dari gereja berkenaan. Lembaga Keselamatan Pengangkutan Kebangsaan (NTSB) telah menghantar penyiasat ke tempat kejadian, menurut jurucakap NTSB , Terry Williams.
Gambar-gambar dan video selepas kemalangan menunjukkan kerosakan teruk pada bahagian pemandu kedua-dua kenderaan. Bahagian belakang bas berada di rel adang dengan kaca dan serpihan berselerakan di kawasan rumput. – AP