MANILA, 25 MAC – Sekurang-kurangnya 13 orang terbunuh di selatan Filipina hari ini selepas berlaku satu perlanggaran antara trak yang sarat dengan pasir dan sebuah van penumpang, kata pihak berkuasa tempatan.
Kejadian itu berlaku pada sebelah petang di jalan utama di perbandaran Antipas di wilayah Cotabato Utara di pulau kedua terbesar, Mindanao.
Tiga belas mayat ditemui di tempat kejadian, kata pegawai bomba, Samuel Lumayon kepada AFP, tetapi dia memberikan amaran angka kematian mungkin meningkat selepas beberapa orang yang cedera parah dibawa ke hospital.
Saksi melaporkan bahawa brek trak itu kelihatan gagal berfungsi sebelum perlanggaran berlaku, kata pegawai bencana, Mic Garfin kepada wartawan. – AFP


