Oleh Daniel Lim –
BELAIT, 3 MAC – Seramai 13 pasukan yang terdiri daripada empat ahli setiap pasukan bersaing dalam beberapa siri cabaran di seluruh Pekan Seria anjuran Pergerakan Belia Minda (MYM), dalam The Black Gold Journey yang diadakan hari ini sebagai sebahagian daripada Karnival Hari Kebangsaan ke-40 selama tiga hari di kawasan tempat letak kereta Pusat Insani, Daerah Belait.
Para peserta menerokai beberapa lokasi yang indah di Pekan Seria untuk menyelesaikan cabaran dalam masa yang singkat. The Black Gold Journey adalah serupa dengan Lost in KB, yang turut dianjurkan oleh MYM pada awal 2021 di Pekan Belait.
Hadir menyaksikan pasukan yang bertanding ialah Pemangku Pegawai Daerah Belait, Haji Amirol Hafidzin bin Haji Muhammad, yang turut menyampaikan hadiah dan anugerah kepada pasukan yang menang di penghujung acara.
Turut diadakan sebagai sebahagian daripada Karnival Hari Kebangsaan ke-40 ialah perarakan patriotik yang diadakan kelmarin, di mana orang dewasa dan kanak-kanak sama-sama berkumpul di premis itu bagi menceriakan langit malam ketika mereka berarak melintasi premis itu berseri-seri dengan cahaya dan kegembiraan.
Turut disediakan di kawasan sekitar karnival itu ialah 48 vendor yang menampilkan perniagaan tempatan serta perusahaan kecil dan sederhana (PKS) menjual pelbagai makanan, minuman dan kraf tangan sepanjang tiga hari karnival itu diadakan.