Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 29 OGOS – Seramai 13 orang pegawai (advance party) terdiri daripada lima orang pegawai haji pentadbiran dan lapan orang pegawai haji perubatan Maktab Urusan Haji Negara Brunei Darussalam bagi Musim Haji 1440 Hijrah/2019 Masihi telah selamat pulang ke tanah air petang hari ini.
Rombongan yang diketuai Ketua Maktab Urusan Haji (Pentadbiran), Negara Brunei Darussalam, Haji Abdullah bin Haji Mohammad itu telah bertolak ke Arab Saudi pada 7 Julai lalu bagi membuat persiapan-persiapan awal bersama pihak-pihak berkenaan mengenai pengurusan hal ehwal haji sebelum ketibaan jemaah haji Negara Brunei Darussalam ke Tanah Suci.
Hadir bagi menyambut kepulangan rombongan di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei ialah Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama, Pengiran Dato Seri Paduka Haji Bahrom bin Pengiran Haji Bahar; Setiausaha Tetap di Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU), Dato Seri Setia Haji Abdul Aziz bin Orang Kaya Maharaja Lela Haji Yussof; Setiausaha Tetap di Kementerian Kesihatan, Haji Abdul Manaf bin Othman; Timbalan Setiausaha Tetap (Dasar dan Keugamaan) di KHEU, Haji Mohd Serudin bin Haji Timbang; Timbalan Setiausaha Tetap (Professional) di Kementerian Kesihatan, Dr Haji Zulaidi bin Haji Abdul Latif dan Timbalan Setiausaha Tetap di Kementerian Kesihatan, Haji Maswadi bin Haji Mohsin.
