BANDAR SERI BEGAWAN, 2 DIS – Daripada sebanyak 42 buah premis majikan yang diperiksa oleh Unit Penguatkuasaan, Tabung Amanah Pekerja (TAP), terdapat seramai 13 pekerja tempatan masih belum didaftarkan dan dicarumkan ke dalam Skim Persaraan Kebangsaan (SPK).
Menurut kenyataan TAP, pemeriksaan telah dijalankan ke beberapa premis perniagaan di sekitar kawasan kompleks perniagaan Mukim Berakas, Bandar Seri Begawan, baru-baru ini.
Lawatan itu bertujuan untuk memastikan setiap majikan menjalankan tanggungjawab dalam mendaftarkan dan membayar caruman SPK untuk pekerja-pekerja mereka.
Setiap pekerja yang memenuhi pensyaratan skim adalah dimestikan untuk mempunyai simpanan persaraan untuk dimanfaatkan di hari persaraan mereka nanti.
TAP turut memaklumkan proses pendaftaran dan pembayaran caruman pekerja kini dipermudahkan melalui perkhidmatan dalam talian TAP, e-Amanah.
Para majikan boleh melog masuk ke akaun portal e-Amanah masing-masing melalui laman sesawang TAP di www.tap.com.bn.
Mereka juga diingatkan untuk melaksanakan tanggungjawab mendaftarkan dan membayar caruman bagi pekerja-pekerja yang layak iaitu rakyat dan penduduk tetap Negara Brunei Darussalam yang mencukupi syarat.
Ini termasuklah pekerja sementara, pekerja berkontrak, pekerja bergaji hari, dan pekerja di dalam tempoh percubaan.
Di bawah Bab 35 (1), Perintah Skim Persaraan Kebangsaan 2023, majikan yang gagal mematuhi peraturan jika disabitkan kesalahan boleh dikenakan denda sehingga $3,000 bagi kesalahan pertama dan tidak lebih daripada $10,000 bagi kesalahan kedua dan seterusnya.
Bagi isu-isu yang berkaitan penguatkuasaan seperti pekerja yang tidak didaftar atau tiada pembayaran caruman, pekerja dinasihatkan untuk membuat aduan dan mengongsikan maklumat melalui talian hotline Unit Penguatkuasaan TAP di talian 730 2929 ataupun melalui e-mel di alamat enforcement@tap.com.bn.
Para pekerja juga boleh mengunjungi mana-mana cawangan TAP yang berdekatan atau menghubungi Pusat Panggilan TAP di talian 272 2929 semasa waktu bekerja. Bagi ahli yang berdaftar dengan perkhidmatan dalam talian TAP, e-Amanah, aduan juga boleh dibuat dengan melog masuk ke akaun ahli melalui laman sesawang TAP di www.tap.com.bn.