NEW DELHI, 26 April – Kira-kira 13 pelajar sekolah maut dan lima yang lain cedera parah selepas sebuah kereta api merempuh sebuah bas sekolah mini hari ini di utara India, menurut para pegawai.
Para pelajar itu, berusia bawah 10 tahun, sedang dibawa ke sebuah sekolah di negeri Uttar Pradesh apabila sebuah kereta api penumpang merempuh kenderaan yang membawa pelajar-pelajar itu ketika berada di persimpangan kereta api.
Impak pelanggaran itu telah menyebabkan bas melayang beberapa meter ke udara, membunuh 10 orang kanak-kanak dengan serta-merta, menurut ketua pegawai perubatan daerah, Akhilesh Kumar Singh kepada AFP.
“Tiga maut di hospital akibat kecederaan yang dialami dan lima yang lain masih kritikal,” tambahnya.
Rakaman TV tempatan menunjukkan berpuluh-puluh orang penduduk tempatan berusaha untuk menyelamatkan kanak-kanak itu.

Sementara itu, India merupakan salah sebuah negara yang mempunyai jalan raya paling bahaya di dunia, telah meragut lebih 150,000 jiwa setiap tahun.
Awal bulan ini, 23 kanak-kanak dan empat dewasa terbunuh apabila seorang pemandu bas sekolah hilang kawalan dan terjunam ke dalam jurang sedalam 100 meter di utara Delhi.
India turut mempunyai beratus-ratus persimpangan kereta api yang tidak dikendalikan oleh manusia, di mana sering kali terjadinya kemalangan, dengan sikap pemandu yang sering kali tidak mengendahkan amaran kedatangan kereta api. – AFP