Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 30 JUN – Kedai perabot Neo Metro, hari ini, telah mengadakan majlis cabutan bagi kempen cabutan bertuah Shop, Win & Fly yang pertama kali diadakan untuk pelanggannya.
Majlis cabutan bagi kempen yang telah bermula awal Mei lalu hingga minggu lalu berkenaan berlangsung di Bilik Pameran Neo Metro, Batu Bersurat di mana 30 orang pelanggan bertuah terpilih untuk menyertainya.
Daripada jumlah berkenaan, hanya 13 orang membawa pulang hadiah menarik sumbangan Neo Metro.
Hadiah pertama berupa tiket penerbangan ke Bali, Indonesia untuk dua orang telah dimenangi oleh On Yau Yen manakala itu, Pengiran Serjuddin bin Pengiran Abdul Rahman membawa pulang hadiah kedua berupa tiket penerbangan ke Vietnam untuk dua orang dan Haji Lani Abdul Samat memenangi tiket penerbangan Singapura untuk dua orang.
Sementara itu, 10 orang pelanggan bertuah selebihnya membawa pulang hadiah sagu hati berupa perabot rumah, beg dan banyak lagi.
Hadiah-hadiah tiga teratas telah disampaikan oleh Pegawai Jualan dan Pemasaran, Michelle Koh manakala itu, hadiah-hadiah sagu hati disampaikan oleh Francisca Arroyo.
