Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 16 Sept – Dayang Nurizan binti Haji Yahya menjadi pemenang utama bulan ini dengan membawa pulang baucar wang tunai berjumlah $2,500 dalam acara cabutan bertuah ‘Spend & Win’ yang diadakan di cawangan Jaya Centrepoint Hypermart, Gadong. Cabutan di tempat kedua dan ketiga dimenangi oleh Awang Ahmad Kashran Udin Tuah dengan membawa pulang baucar berjumlah $1,000, manakala, Pengiran Shufri bin Haji Pat membawa pulang baucar $500.
Seramai 13 pelanggan berjaya memasuki pusingan cabutan bertuah berkenaan anjuran Kumpulan Syarikat Milimewah yang menjemput media tempatan dan pelanggan untuk membuat cabutan tersebut dengan para pemenang akan dihubungi untuk penyampaian hadiah pada 30 September ini.
Sementara 10 lagi pemenang sagu hati masing-masing membawa pulang hadiah berupa baucar wang tunai sebanyak $100.
Pelanggan yang ingin menyertai cabutan bertuah berkenaan bolehlah membuat pembelian di mana-mana pusat membeli-belah Kumpulan Milimewah antaranya Jaya Hypermart (Centrepoint Gadong, KB Sentral) Milimewah Department Store (Bandar, Berakas, Tutong, Kuala Belait) M-Porium Jaya Department Store dan Utama Grand Superstore (The Mall, Gadong).
Tujuan promosi ini diadakan adalah untuk memberikan penghargaan kepada pelanggan yang telah sama-sama memberikan sokongan berterusan.
Sebagai tambahan, pelanggan yang mempunyai kad ahli JUMM secara tidak langsung berpeluang mengikuti cabutan bertuah dengan hanya menggunakan kad berkenaan semasa membuat pembayaran di kaunter kedai-kedai berkenaan.