Sunday, April 13, 2025
23.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    13 peserta dari sektor tenaga sertai ToA

    Oleh Yusrin Junaidi

    BANDAR SERI BEGAWAN, 5 JULAI – Seramai 13 orang peserta daripada lapan buah organisasi berbeza daripada sektor tenaga telah menyertai Program Pensijilan Latihan Penaksiran (ToA) yang diadakan selama lima hari bermula hari ini di Pusat Serantau SEAMEO VOCTECH.

    Program latihan tersebut bertujuan untuk melengkapkan calon dengan set kompetensi untuk melakukan proses penilaian untuk menilai kecekapan pelatih dengan berkesan sesuai dengan keperluan industri atau standard unit atau kelayakan.

    Selain itu, program tersebut akan memberi pengetahuan dan kemahiran kepada peserta mengenai konsep dan prinsip asas penilaian; merancang dan membangunkan instrumen penilaian; menilai kemahiran, pengetahuan dan sikap; memberi maklum balas dan menyimpan rekod penilaian; dan menilai kecekapan di persekitaran kerja.

    Pengarah Pusat SEAMEO VOCTECH, Awang Alias bin Haji Abu Bakar dalam ucapannya pada majlis perasmian tersebut mengakui pelaburan besar yang dibuat oleh kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam melalui Majlis Perancangan Tenaga Kerja dan Pekerjaan (MPEC) di Jabatan Perdana Menteri dan organisasi swasta yang relevan dari sektor industri tenaga terhadap profesion penilai dan kerjaya dalam menilai kecekapan untuk memastikan mereka menilai dengan berkesan mengikut keperluan industri dan standard unit atau kelayakan.

    Turut hadir pada majlis perasmian itu ialah Timbalan Pengarah Urusan Profesional merangkap Pakar Penyelidikan, Dr Paryono dan Pengurus Latihan dan Profesional merangkap Pakar Pendidikan Guru SEAMEO VOCTECH, Dayang Noorhayati Cynthia binti Abdullah, yang merupakan penyelaras kursus bagi program latihan tersebut.

    Awang Alias bergambar ramai bersama para peserta yang mengikuti program latihan tersebut.
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda