Oleh Salawati Haji Yahya
BANDAR SERI BEGAWAN, 25 APRIL – Seramai 13 pelajar yang menyertai Annual International Spirit of Math Contest kali ke-26 diraikan dalam majlis Spirit of Math Award yang dihoskan oleh Mavensdotlive baru-baru ini.
Ini menandakan kali pertama program Spirit of Math ke Brunei yang merupakan hasil daripada kerjasama baharu antara dua pemimpin dan pendidik yang berwawasan iaitu Goh Chai Li dari Brunei dan Kimberley Langen dari Kanada.
Program berkenaan yang pada mulanya diasaskan oleh Kimberley Langen pada tahun 1995 di ruang bawah kediamannya dengan hanya 35 pelajar, kini ia telah berkembang menjadi satu inisiatif global yang memberi impak kepada pelajar di seluruh dunia.
Spirit of Math terkenal dengan pendekatan uniknya dalam memupuk kemahiran menyelesaikan masalah, pemikiran kritis, dan kecemerlangan dalam matematik.
Di majlis itu, para peserta telah diberi sijil penghormatan bagi mengiktiraf dedikasi dan usaha keras mereka sepanjang program.
Turut disampaikan adalah Pingat Terbaik di Brunei kepada Raymond Bin Selim @ Lim Ming Ter atas kecemerlangan beliau mencapai skor 90 peratus ke atas sementara Serafina Sea Chien Xing telah dianugerahkan Pin Penghargaan atas pencapaian skor 80 peratus.
Kerjasama antara Mavensdotlive dan Spirit of Math sejajar dengan visi bersama untuk meningkatkan minda muda dan mencipta peluang baharu untuk pelajar sekali gus membantu pelajar mencapai potensi penuh mereka dan mempersiapkan mereka untuk kejayaan masa depan.
Semua di atas: suasana semasa majlis berkenaan.