Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 29 SEPT – Sebanyak 13 buah stesen minyak di seluruh negara akan terlibat dalam kerja-kerja pemeriksaan dan penelitian bacaan ketepatan ke atas alat sukatan jenis pam minyak yang akan dilaksanakan oleh Bahagian Industri dan Ekosistem Perniagaan (IBE) melalui Unit Sukatan dan Timbangan (SDT) di bawah Kementerian Kewangan dan Ekonomi.
Langkah berkenaan adalah selaras dengan Akta Sukatan dan Timbang 1983, Penggal 151, yang menetapkan setiap alat sukat dan timbang bagi tujuan perdagangan hendaklah berdaftar serta disahkan ketepatannya oleh Unit SDT.
Bagi memastikan keselamatan dan kesejahteraan orang ramai serta tenaga kerja yang terlibat, stesen-stesen minyak berkenaan akan ditutup sementara bermula jam 9 pagi hingga selesai pemeriksaan, yang dianggarkan mengambil masa sekitar dua jam.
Pemeriksaan dan penelitian ke atas stesen-stesen minyak ini merupakan pemeriksaan rutin yang dijalankan sebanyak tiga kali setahun oleh Unit SDT.
Bagi Daerah Brunei dan Muara, pemeriksaan akan bermula pada Isnin, 6 Oktober di Stesen Minyak Koperasi Perniagaan dan Perusahaan Melayu Berhad, diikuti oleh Stesen Minyak Teluk Mewah pada 7 Oktober, Stesen Minyak Badan Tanmiah pada 8 Oktober dan Stesen Minyak Koperasi Persatuan Tiba (KOTIBA) pada 9 Oktober.
Pemeriksaan turut dijadualkan di Stesen Minyak Berakas pada 11 Oktober, Stesen Minyak Masjory pada 13 Oktober, Stesen Minyak Bebatik pada 14 Oktober, Stesen Minyak Mabohai pada 15 Oktober, serta Stesen Minyak 59 Sdn Bhd (Riverine Station Kampong Buang Sakar) pada 16 Oktober.
Sementara itu, bagi Daerah Tutong, pemeriksaan akan dilaksanakan di Stesen Minyak KOPEKLAP pada 20 Oktober, diikuti Stesen Minyak Kampong Keriam (Pakatan Tutong) pada 21 Oktober dan Stesen Minyak Telisai Sdn Bhd pada 22 Oktober.
Manakala bagi Daerah Belait, pemeriksaan akan dijalankan di Stesen Minyak Koperasi Sepakat pada 29 Oktober.
Orang ramai yang mempunyai sebarang pertanyaan lanjut boleh menghubungi Unit SDT, IBE melalui e-mel sdt@mofe.gov.bn atau talian 238 3142.


