Sunday, September 8, 2024
22.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    130 hadiri Halaqah Bimbingan Daie ke-67

    Oleh Salawati Haji Yahya –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 31 JAN – Seramai 130 orang telah menghadiri Halaqah Bimbingan Daie ke-67 Tahun, 2024 anjuran Pusat Dakwah Islamiah (PDI) melalui Bahagian Penyebaran Dakwah (Ceramah) di Dewan Persidangan, PDI, hari ini.

    Antara yang menghadiri halaqah tersebut adalah dari Jabatanarah Agama, Angkatan Bersenjata Diraja Brunei, Kementerian Pertahanan; Jabatan Hal Ehwal Masjid dan Bahagian Kemajuan Syiar Islam serta pensyarah dan penolong pensyarah Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB) di bawah Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU), selain pensyarah dan penolong pensyarah Universiti Islam Sultan Sharif Ali, daie-daie dari jabatan-jabatan kerajaan dan swasta, daie bertauliah Majlis Ugama Islam serta para pegawai dan kakitangan PDI.

    Hadir selaku fasilitator jemputan ialah Dekan Pelajar, Bahagian Hal Ehwal Pelajar, KUPU SB, Dr Haji Mohammad Shahrol Azmi bin Haji Abdul Muluk.

    Turut hadir ialah Pemangku Pengarah PDI, Haji Ahmad Abdussalam bin Haji Abdul Rahman.
    Acara dimulakan dengan bacaan Sayyidul Istighfar dan Surah Al-Fatihah dan seterusnya pembentangan bertajuk Sembahyang Tiang Agama.

    Halaqah antara lain membincangkan mengenai kepentingan sembahyang serta pendekatan atau tanggungjawab ibu bapa dalam pendidikan anak supaya taat solat menurut Abdullah Nasih Ulwan.

    Acara tersebut turut diisi dengan sesi perbincangan dan soal jawab dibukakan kepada para peserta dan jemputan.

    Majlis diteruskan dengan penyampaian cenderahati kepada fasilitator jemputan yang di-sempurnakan oleh Haji Ahmad Abdussalam.

    Antara lain objektif halaqah berkenaan adalah bagi menyelaraskan isi kandungan ceramah agar isu atau tajuk yang disampaikan oleh para penceramah terus konsisten dan sentiasa relevan dengan peredaran masa dan zaman.

    Halaqah Bimbingan Daie ke-67 juga diharap akan dapat mencapai objektif dan sasaran yang dihasratkan iaitu bagi memberi ilmu pengetahuan, berkongsi isu dan bertukar-tukar fikiran berkaitan dengan tajuk ceramah yang disampaikan.

    Haji Ahmad Abdussalam bersama tetamu yang lain menghadiri majlis tersebut. – GAMBAR OLEH SALAWATI HAJI YAHYA
    Antara yang menghadiri Halaqah Bimbingan Daie ke-67, di Dewan Pusat Dakwah Islamiah – GAMBAR OLEH SALAWATI HAJI YAHYA

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda