JEDDAH, 8 JAN – Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi telah membuat persiapan bagi edisi keempat Persidangan dan Pameran Haji 2025 yang akan berlangsung di Jeddah Superdome mulai 13 Januari.
Menurut laporan agensi berita Saudi (SPA), persidangan ini akan menghimpunkan pakar, ahli akademik, wakil hal ehwal haji, diplomat serta pemimpin sektor awam, swasta dan bukan berasaskan keuntungan.
Persidangan selama empat hari itu, dengan penyertaan lebih 300 organisasi akan mempamerkan penyelesaian teknologi terkini dan perkhidmatan berkualiti.
Edisi tahun ini memberi tumpuan kepada kerjasama merentas ekosistem haji dan umrah serta inovasi yang meningkatkan pengalaman jemaah haji dan umrah.
Dianjurkan dengan kerjasama Pilgrim Experience Programme, satu daripada inisiatif di bawah Wawasan Saudi 2030, acara ini bertujuan menyediakan perkhidmatan bertaraf dunia melalui kecekapan, ketelusan serta penyelesaian pintar yang mampan.
Program persidangan merangkumi lebih 47 sesi panel dan 50 bengkel, dengan penyertaan lebih 130 penceramah tempatan dan antarabangsa.
Topik utama yang akan dibincangkan termasuk kelestarian, teknologi mesra alam untuk menyokong perjalanan haji, aplikasi kecerdasan buatan dalam pengurusan orang ramai dan penambahbaikan perkhidmatan serta penyelesaian digital untuk menyelaraskan operasi.
Acara ini turut menyediakan peluang unik untuk syarikat pemula dalam sektor haji berkongsi idea mereka.
Pameran yang diadakan serentak merupakan pameran terbesar dan pertama seumpamanya yang memberi tumpuan kepada perkhidmatan haji, diadakan di kawasan seluas 50,000 meter persegi, untuk memperkenalkan projek dan produk inovatif terkini dalam sektor haji dan umrah.
Ia dijangka menarik kehadiran orang ramai, berdasarkan kejayaan edisi sebelumnya yang merekodkan lebih 100,000 pengunjung dan menandatangani 202 perjanjian kerjasama antarabangsa. – Bernama