BELAIT, 10 NOV – Lebih 130 pelari telah mengambil bahagian dalam Sungai Liang Ultra 2025, larian ketahanan sejauh 50 kilometer yang diadakan baru-baru ini sempena Hari Hutan Antarabangsa.
Acara anjuran bersama Jabatan Perhutanan, Kementerian Sumber-sumber Utama dan Pelancongan (KSSUP) dengan Kelab Larian Kelab Rekreasi Brunei Shell (BSRC) mengetengahkan peranan hutan sebagai sumber rekreasi, pendidikan alam sekitar dan kebanggaan negara.
Hadir selaku tetamu kehormat sekali gus merasmikan upacara pelepasan ialah Pemangku Pengarah Perhutanan, Awang Reni bin Haji Yahya.
Terdahulu, acara dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah, diikuti dengan taklimat perlumbaan dan nyanyian lagu kebangsaan Allah Peliharakan Sultan, diteruskan dengan pelepasan yang dirasmikan oleh tetamu kehormat.
Laluan mencabar sejauh 50km itu membawa pelari melalui denai hutan, bukit dan pohon yang subur, menonjolkan keindahan semula jadi dan biodiversiti kawasan Hutan Simpan Sungai Liang serta menekankan kepentingan pemuliharaan untuk generasi akan datang.
Acara tersebut juga bertujuan meningkatkan kesedaran tentang pemuliharaan hutan selain menekankan bagaimana rekreasi luar boleh wujud bersama perlindungan alam sekitar.
Acara itu menyaksikan juara Terbuka Lelaki disandang oleh Awang Amirul bin Tuah, manakala Lalitah Lintanga pula juara bagi Terbuka Wanita. Sementara bagi kategori Veteran Lelaki, juara dirangkul oleh Chung Kwei Ming, manakala juara Veteran Wanita pula dimenangi oleh Dayang Sarinah binti Haji Isa.
Kapten Kelab Larian BSRC, Mohamad Radhi Noror Gumiet, turut berkongsi, “Melalui larian, kita berhubung dengan hutan dan belajar untuk menghormatinya. Kerjasama ini tentang meraikan ketahanan dan pemuliharaan.”
Acara diakhiri dengan perhimpunan para pelari, sukarelawan dan warga Jabatan Perhutanan. Sungai Liang Ultra memberikan peringatan bahawa setiap langkah yang diambil di laluan tersebut menyumbang kepada perlindungan warisan semula jadi negara.




