GENEVA, 10 Jan – Salji tebal yang luar biasa dan risiko besar runtuhan salji Alpine menyebabkan seramai 13,000 orang pelancong terkandas semalam di sebuah tapak peranginan Zermatt di Swiss di bahagian bawah gunung Matterhorn yang terkenal.
Jalan raya, kereta api, kereta kabel, cerun ski dan laluan pendakian yang berdekatan ke bandar telah ditutup, pihak berkuasa Swiss telah menghantar helikopter untuk membawa pelancong ke perkampungan yang berdekatan untuk menjauhkan diri dari lembah Alpine yang dilitupi salji.
Seorang pegawai polis di Zermatt, tarikan bagi penggembara dan jutawan, berkata helikopter yang membawa ke perkampungan Taesch hanya mengambil masa sekurang-kurangnya tiga minit.
Pegawai, yang bercakap dengan syarat tidak mendedahkan namanya kerana tidak dibenarkan bercakap secara terbuka mengenai perkara itu, berkata ‘jambatan udara’ (helikopter) boleh membawa sekurang-kurangnya 100 orang sejam, sekiranya keadaan mengizinkan.

Hanya pelancong yang meminta untuk dipindahkan menggunakan helikopter sahaja yang dipindahkan, beritahu pegawai dengan menegaskan bahawa ia bukan pemindahan rasmi.
Penyiar SRF yang disokong kerajaan menunjukkan gambar beberapa orang membawa keluar bagasi mereka menuju ke tiga buah helikopter yang disediakan, dengan bilahnya berputar di atas dataran yang berais.
Jentolak digunakan untuk menolak salji di Zermatt agar jalan raya boleh dilalui. Salah seorang pemilik hotel setempat berkata pihak berkuasa sedang bersedia bagi membuat letupan terkawal untuk membersihkan salji yang meliputi jalan-jalan raya dan laluan kereta api.
Janine Imesch dari pejabat pelancongan Zermatt berkata bekalan tenaga telah dipulihkan selepas berlaku gangguan sementara. Menurutnya lagi tidak ada yang terancam kerana pihak berkuasa telah menutup laluan ke cerun ski dan laluan pendakian sehari sebelumnya. – AP