13,000 tenaga kerja mahir diperlukan

Oleh Sim Y. H. & Salawati Haji Yahya
Gambar oleh Muiz Matdani

BANDAR SERI BEGAWAN, 11 OGOS – Keperluan tenaga kerja yang berkemahiran bagi sektor tenaga akan meningkat disebabkan peningkatan aktiviti di sektor hiliran minyak dan gas serta mengambil kira projek-projek dalam perancangan.

“Dalam jangka masa lima tahun akan datang, dari 2021 hingga 2025, kita memerlukan lebih kurang 13,000 tenaga kerja yang mahir,” jelas Pengurus ICV, Syarikat Minyak Brunei Shell Sdn Bhd (BSP), Hajah Rosita binti Hassan selaku pengerusi MISC Energy dalam temu bual bersama Media Permata semasa Hari Penglibatan Pasaran bagi Organisasi Latihan, yang berlangsung di Dewan Bankuet, Bangunan Jabatan Perdana Menteri (JPM), hari ini.

Beliau menjelaskan bahawa daripada 13,000 tenaga kerja mahir berkenaan, kira-kira 2,000 tenaga kerja mahir diperlukan dalam bidang pembinaan minyak dan gas seperti bidang scaffolding, pengimpalan, painting and blasting, rigging dan marker fitter.

Oleh itu, beberapa persiapan harus dibuat bagi memenuhi keperluan itu, jelasnya, iaitu untuk memastikan organisasi latihan yang boleh memberikan latihan yang berkualiti serta menepati standard yang diperlukan.

Menyentuh mengenai acara yang diadakan itu, Hajah Rosita berkata bahawa ia bertujuan untuk mengongsi maklumat mengenai keperluan tenaga kerja yang terkini bagi sektor tenaga serta perkongsian maklumat mengenai latihan IBTE yang telah dikemaskinikan di mana kajian semula yang menyeluruh dan komprehensif telah dijalankan bagi lima kemahiran yang berkenaan.

Kajian semula program berkenaan, dilaksanakan bagi memastikan bahawa setelah tamat latihan, tenaga kerja yang dilatih akan menjadi industry-ready supaya mereka dapat terus memasuki pasaran kerja.

Pada masa yang sama, Hajah Rosita menjelaskan bahawa IBTE juga akan menawarkan program latihan yang akan dijalankan oleh organisasi latihan dari syarikat swasta.

“Terdapat program latihan yang akan diswastakan dan oleh itu, memerlukan syarikat-syarikat tempatan untuk tampil dan akan membuat permohonan untuk menjadi organisasi latihan berdaftar,” tambah beliau.

Hajah Rosita semasa menyampaikan ucapan alu-aluan Hari Penglibatan Pasaran bagi Organisasi Latihan yang berlangsung di Bangunan JPM.
Antara para jemputan yang hadir pada majlis berkenaan.