Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 7 NOV – Seramai 131 orang peserta menyertai Program Ke Arah Warga Perkhidmatan Awam yang Arif tentang Rukun Islam Kelima yang dianjurkan oleh Kementerian Hal Ehwal Ugama melalui Jabatan Urusan Haji di Dewan Multaqa, Bangunan Tambahan Kementerian Hal Ehwal Ugama, Jalan Dewan Majlis, hari ini.
Program dijalankan sehari dan mengandungi dua sesi. Sesi pertama merupakan taklimat pengenalan mengenai Jabatan Urusan Haji dan kewajipan haji, disampaikan oleh Pemangku Penolong Pengarah Urusan Haji, Hajah Zunainah binti Haji Gunong.
Program tersebut bertujuan untuk memberi kefahaman kepada warga perkhidmatan awam mengenai hal ehwal pengurusan haji serta kemudahan-kemudahan yang disediakan oleh kerajaan berhubung tuntutan ibadah haji.
Selain itu ia juga untuk memberi kesedaran kepada warga perkhidmatan awam agar mempersiapkan diri lebih awal untuk mengerjakan ibadah haji, bukan hanya persiapan dari segi kewangan bahkan dari segi ilmu dan kesihatan.
Dengan adanya pengetahuan tentang kemudahan-kemudahan yang disediakan oleh pihak kerajaan juga dihasratkan akan dapat mendorong warga perkhidmatan awam untuk menyegerakan pelaksanaan ibadah haji.
Manakala sesi kedua merupakan penerangan mengenai pengurusan haji dan kemudahan-kemudahan yang disediakan oleh pihak kerajaan, disampaikan oleh Pegawai Pelajaran Ugama di Jabatan Urusan Haji, Haji Mohd Hisham bin Haji Maidin. Selain itu, program juga diisikan dengan tayangan klip video Perjalanan Jemaah Haji Negara Brunei Darussalam bagi tahun 1443 Hijrah/2022 Masihi.