Oleh Yusrin Junaidi –
BANDAR SERI BEGAWAN, 31 JULAI – Seramai 132 orang pelajar baharu sesi akademik 2025/2026 telah menyertai Minggu Ta’aruf kali ke-19 anjuran Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB), yang menandakan permulaan rasmi pengajian mereka di institusi pengajian tinggi berkenaan.
Majlis Kesyukuran Minggu Ta’aruf yang berlangsung pagi tadi di Dewan Tarbiah, KUPU SB diserikan dengan tausiah yang disampaikan oleh Ra’es KUPU SB, Profesor Madya Dr Abdul Nasir bin Haji Abdul Rani.
Dalam tausiahnya, beliau menekankan pentingnya para mahasiswa dan mahasiswi serta seluruh warga KUPU SB untuk terus bersatu padu dalam membina kecemerlangan kolej universiti dengan penuh amanah dan integriti demi mencapai keredaan Allah SWT.
Beliau turut menyeru agar mahasiswa dan mahasiswi KUPU SB menempuh alam pengajian tinggi dengan tekun, bertanggungjawab serta beretika, berlandaskan nilai-nilai keislaman yang murni.
Menurut beliau lagi, KUPU SB komited untuk meneruskan usaha dalam menawarkan sistem pengajaran dan pembelajaran yang bersepadu dan berkesan, termasuk melalui penggunaan teknologi terkini bagi meningkatkan kompetensi serta perkembangan ilmu warga kampus.
Katanya, KUPU SB memainkan peranan penting sebagai mercu tanda keislaman yang unik dengan memartabatkan pengajian perguruan ugama dan khazanah ilmu kitab Turath Melayu.
Minggu Ta’aruf turut memberi penekanan kepada pemahaman mendalam terhadap falsafah, visi dan misi KUPU SB, selain menyuntik kesedaran dalam kalangan pelajar baharu mengenai peranan mereka sebagai mahasiswa dan mahasiswi yang berakhlak mulia serta berdaya saing dalam mendepani cabaran semasa.







