Oleh Sim Y.H. –
PENANJONG, 25 APRIL – Seramai 133 Rekrut Lelaki Pengambilan ke-176 telah berjaya menamatkan Latihan Asas Ketenteraan mereka dan diraikan pada Upacara Perbarisan Tamat Latihan Rekrut yang berlangsung di Padang Kawad Institut Latihan Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (IL ABDB), Penanjong Garison, hari ini.
Hadir selaku tetamu kehormat ialah Pemerintah Tentera Udara Diraja Brunei (TUDB), Kolonel (U) Haji Haszahaidi bin Haji Ahmad Daud.
Turut hadir ialah timbalan-timbalan pemerintah angkatan tentera, pegawai-pegawai kanan, para pegawai dan anggota-anggota ABDB serta ahli keluarga rekrut.
Pada upacara tersebut, Kolonel (U) Haji Haszahaidi telah memeriksa perbarisan dan menyampaikan ucapan di mana beliau menekankan nilai-nilai teras ABDB khususnya penekanan terhadap disiplin, ketabahan serta keperluan memperkukuhkan ketahanan fizikal, mental dan kerohanian.
Beliau turut menggariskan peranan penting yang akan dimainkan oleh para rekrut dalam menjaga keamanan, kedaulatan dan keselamatan Negara Brunei Darussalam.
Di samping itu, beliau juga mengucapkan setinggi-tinggi tahniah dan menggalakkan mereka untuk terus mengamalkan tahap integriti dan profesionalisme yang tinggi sepanjang berkhidmat dalam ABDB.
Upacara diteruskan dengan Kolonel (U) Haji Haszahaidi menyempurnakan penyampaian anugerah-anugerah kepada rekrut-rekrut dan jurulatih yang menunjukkan kecemerlangan dalam kategori masing-masing.
Rekrut Terbaik Keseluruhan disandang oleh Rekrut Mohammad Farish Amanullah bin Mohammad Sidque; Kemahiran Ketenteraan Terbaik disandang oleh Rekrut (L) Mohammad Khairul Anizam bin Suqairi, TLDB; Latihan Senjata Ringan Terbaik disandang Rekrut Mohd Nur Izuddin Shah bin Aman dan Latihan Jasmani Terbaik disandang oleh Rekrut Muhammad Danish Wathiq Amsyar bin Zaini.
Sementara itu, Anugerah Ketua Seksyen Terbaik diberikan kepada Laskar Kanan Hamirul Hamiduddin bin Mohd Hamran, TLDB. Manakala, Platun Sarjan Terbaik disandang oleh Sarjan Muhammad Zulfauzan bin Ajis atas kepimpinan dan komitmen yang cemerlang di sepanjang latihan.
Upacara diakhiri dengan bacaan doa oleh Kapten Abdul Mu’iz Azizi bin Zulkifli daripada Jabatanarah Agama ABDB (JAMA’AT).