135 kes dan enam kluster baharu dilaporkan

Oleh Syahmi Hassan

BANDAR SERI BEGAWAN, 15 SEPT – Jumlah keseluruhan kes jangkitan COVID-19 di Negara Brunei Darussalam telah mencecah 4,566 dengan 135 kes baharu telah dicatatkan, hari ini.

Selain itu, enam kluster baharu telah dikesan yang membawa jumlah kluster aktif kepada 82 kluster, Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Isham bin Haji Jaafar memaklumkan dalam Sidang Media bagi Situasi Terkini Jangkitan COVID-19 di Negara Brunei Darussalam yang diadakan di Dewan Al-‘Afiah, Kementerian Kesihatan, hari ini.

Beliau menjelaskan, kluster-kluster baharu tersebut ialah Kluster 3278 yang mengandungi empat kes baharu; Kluster 3892 yang mengandungi satu kes baharu; Kluster 3859 mengandungi satu kes baharu; Kluster 4157 mengandungi empat kes baharu; Kluster 4401 mengandungi sembilan kes baharu dan Kluster 4490 yang mengandungi empat kes baharu.

“Kesemua kluster-kluster baharu ini juga mengandungi kes-kes yang telah dilaporkan sebelum ini sebagai kes yang belum dikenal pasti sumber jangkitannya,” jelas Yang Berhormat Menteri Kesihatan.

Menurut Yang Berhormat Dato lagi, terdapat 15 tambahan kes baharu kepada 10 kluster aktif yang sedia ada. Kes dalam kluster-kluster aktif itu adalah mereka yang sedang menjalani kuarantin setelah didapati mempunyai kontak dengan beberapa kes positif sebelumnya.

Yang Berhormat Menteri Kesihatan semasa mendedahkan statistik jangkitan di Dewan Al-‘Afiah, kelmarin. – Gambar oleh Muiz Matdani

“Sementara itu, 97 kes adalah masih dalam siasatan bagi mengenal pasti sumber jangkitan,” tambah beliau.

Pengesanan kontak bagi semua kes baharu berkenaan masih giat dijalankan dan semua kontak terdekat yang dikenal pasti akan diarahkan untuk menjalani kuarantin mandatori dan ujian RT-PCR SARS-CoV-2.

Dalam pada itu, 132 kes telah disahkan sembuh pada hari ini dan jumlah tersebut termasuk 21 kes positif dalam Kategori 1 yang telah membuat pengasingan diri selama 14 hari di rumah masing-masing.

Yang Berhormat Menteri Kesihatan menjelaskan bahawa kesemua mereka telah melakukan ujian swab ulangan pada hari ke-12 dan disahkan telah sembuh.

Oleh itu, jumlah kes yang sembuh di Negara Brunei Darussalam meningkat kepada 2,988 kes manakala jumlah kes aktif ialah sebanyak 1,549 kes.

“Di kalangan kes-kes aktif tersebut, sembilan kes adalah dalam keadaan kritikal yang mana lapan daripadanya memerlukan bantuan mesin pernafasan (artificial ventilation).

“Manakala satu lagi kes memerlukan bantuan mesin tambahan heart-lung machine (ECMO). Sementara itu, 33 kes lain yang dikategorikan dalam Kategori 4 sekarang ditempatkan di unit rawatan intensif bagi pemantauan rapi,” jelas Yang Berhormat Dato.

Manakala itu, dalam tempoh 24 jam yang lalu, sebanyak 4,525 sampel telah diuji bagi virus SARS-CoV-2 yang membawa jumlah keseluruhan ujian makmal dijalankan sejak Januari 2020 kepada 286,871 ujian.

Untuk maklumat lanjut dan perkembangan terkini, orang ramai boleh melayari laman web Kementerian Kesihatan www.moh.gov.bn atau melalui aplikasi BruHealth.

Sebarang pertanyaan mengenai COVID-19 boleh disalurkan ke Talian Nasihat Kesihatan 148, Talian Darussalam 123, Talian Helpdesk Brunei Red Crescent (BRC) atau e-mel kepada [email protected]