Oleh Nurdiyanah R.
BANDAR SERI BEGAWAN, 15 MAC – Seramai 135 orang murid Darjah 6 Sekolah Ugama (SU) Pengiran Anak Puteri (PAP) Azemah Nikmatul Bolkiah, Mentiri bagi sesi 2021 telah diraikan pada majlis khatam Al-Quran yang diadakan di dewan sekolah tersebut, baru-baru ini.
Hadir selaku tetamu kehormat majlis bagi menyempurnakan penyampaian sijil khatam ialah Guru Besar SU PAP Azemah Nikmatul Bolkiah, Dayangku Rafidah binti Pengiran Haji Metahir.
Majlis turut diselajurkan dengan penyampaian sijil kepada para pelajar berkenaan yang telah lulus dalam Peperiksaan Sijil Sekolah-sekolah Rendah Ugama (SSSRU) Darjah 6 tahun 1442H / 2021M yang telah tertangguh selama dua tahun akibat pandemik COVID sebelumnya.
Bagi memberkati majlis, bacaan Doa Selamat telah dipimpin oleh tenaga pengajar Darjah 6, Awang Ismawi bin Haji Maidin.
Dengan adanya acara tahunan berkenaan, ia bertujuan untuk menggalakkan golongan murid untuk sentiasa membaca Al-Quran dengan betul dan lancar sehingga mereka dapat mengkhatamkan Al-Quran sebelum menamatkan Darjah 6 persekolahan agama.
![](https://mediapermata.com.bn/wp-content/uploads/2023/03/P9-3a-Khatam-AS_16032023.jpg)